Astro GS Shop platform dekati rakyat

Astro GS Shop platform dekati rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Go Shop, sebuah perkhidmatan membeli-belah gaya hidup pelbagai platform di Malaysia, kini melancarkan Saluran berbahasa Mandarin 24 jam pertama di Malaysia. Saluran tersebut ditayangkan dalam format definisi tinggi di Astro untuk memberi pengalaman membeli-belah yang unik pada bila-bila masa, di mana sahaja.

Pengumuman ini dibuat berdasarkan kejayaan Go Shop selepas pengenalan saluran bahasa Melayu di Saluran Astro 118 dan platform bahasa Inggeris dalam talian dan mudah alih pada Januari lepas. Saluran bahasa Mandarin yang baru ini akan ditayangkan di TV (Saluran 318 di Astro dan NJOI), Astro On The Go, serta melalui platform perniagaan dalam talian dan mudah alih Go Shop.

Dengan pelancaran ini, Go Shop mengendalikan dua Saluran TV (118 dan 318 di Astro dan NJOI) serta di platform perniagaan dalam talian dan mudah alihnya. Perkhidmatan membeli-belah yang baru ini diuruskan oleh Astro GS Shop Sdn Bhd (AGSS), sebuah usahasama di antara Astro Malaysia Holdings dan GS Home Shopping (GS) Inc., peneraju global dalam perkhidmatan membeli-belah di rumah dari TV dengan kewujudan antarabangsa di Korea Selatan, China, India, Indonesia, Vietnam, Thailand, Turki dan Malaysia. “Rakyat Malaysia ingin menikmati pengalaman membeli-belah sepenuhnya, sama ada dari TV, laman web atau peralatan mudah alih,” kata En Henry Tan, Pengerusi AGSS dan Ketua Pegawai Operasi, Astro.

Go Shop juga akan mendapat manfaat dari capaian Astro kepada para pengguna di Malaysia. Menurut En Tan, “Melalui aset pelbagai media kami, AGSS mempunyai potensi capaian yang tiada tandingan iaitu sebanyak 4.6 juta isi rumah atau 65% rakyat Malaysia. Para pelanggan di seluruh Malaysia telah menikmati pengalaman Go Shop dalam Bahasa Malaysia sejak 30 Januari, dan kini kami meluaskan capaian kepada komuniti Cina dengan Go Shop dalam bahasa Mandarin.”

Go Shop hanya menawarkan produk-produk yang tulen (kecantikan, kesihatan dan kesejahteraan, peralatan rumah dan dapur, gaya hidup, sukan dan riadah, digital, dan banyak lagi) dari jenama-jenama premium dan dipercayai, termasuklah produk-produk popular dari Korea, yang laris dijual di pasaran antarabangsa dan yang boleh didapati secara eksklusif dari Go Shop.

En Henry Tan (tujuh kiri) bergambar ramai bersama beberapa orang pengurus dari syarikat perniagaan dari Korea.
En Henry Tan (tujuh kiri) bergambar ramai bersama beberapa orang pengurus dari syarikat perniagaan dari Korea.