Asuh bakat kanak-kanak hafaz Surah Lazim

Asuh bakat kanak-kanak hafaz Surah Lazim

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), kelmarin, telah menganjurkan Peraduan Menghafaz Ayat-ayat Lazim Beserta Terjemahannya yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengetua SR YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi.

Muncul juara bagi peserta lelaki ialah Awang Mohd Raef Aiman bin Haji Mosliadi dari Tahun 2 Mercury yang diikuti oleh Awang Muhd Wafii Syafiq bin Haji Mosliadi dari Tahun 4 Saturn selaku naib johan dan Awang Nazif Rafie bin Haji Mohd Nadzri Radhl dari Tahun 4 Mars di tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan pula dijuarai oleh Dayang Waliyah binti Haji Kamarul Azam dari Tahun 4 Mars, manakala itu, naib johan disandang oleh Dayang Nurjeehan Solehah binti Najhe juga dari Tahun 4 Mars dan Dayang Nur Nadya Azyyati Razanah binti Haji Rony Zai dari Tahun 4 Earth menduduki tempat ketiga.

Pengetua SR YSHHB bergambar ramai bersama barisan pemenang penghafaz Surah-surah Lazim.
Pengetua SR YSHHB bergambar ramai bersama barisan pemenang penghafaz Surah-surah Lazim.

Pertandingan yang diadakan buat kali kedua itu disertai oleh 33 orang murid dari Tahun 2 hingga 5 semasa peringkat saringan dan hanya enam orang peserta lelaki serta enam orang peserta perempuan mara ke peringkat akhir.

Ia antara lain bertujuan memupuk dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman beragama dengan menghayati bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran di samping melibatkan penyertaan pelajar-pelajar dalam kegiatan yang bercorak keagamaan serta mengasuh bakat dan kebolehan mereka dalam bidang pembacaan menghafaz Surah-surah Lazim.

Menerusi pertandingan ini juga dapat menanamkan semangat cintakan Al-Quran dalam kalangan pelajar ketika mereka masih di alam persekolahan serta menjadikan bacaan Al-Quran sebagai satu budaya yang wajib diutamakan oleh semua pelajar di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA