Asystasia Gangetica ‘Alba’ mudah dijaga

Asystasia Gangetica ‘Alba’ mudah dijaga

SPESIES Asystasia Gangetica ‘Alba’ merupakan satu spesies tumbuhan liar yang boleh dipilih untuk ditanam sebagai tanaman hiasan yang tergolong dalam keluarga tumbuhan Acanthaceae.

Perkataan ‘Alba’ pada nama spesies tanaman ini bermaksud putih yang merujuk kepada bunganya yang berwarna putih kekuningan.

Tanaman jenis ini seringkali dilihat tumbuh meliar di sekeliling kediaman terutama di kampung dan dikatakan sebagai tumbuhan asli di negara-negara beriklim tropika.

Bunga-bunganya tumbuh pada tangkai yang panjang berbentuk seperti serombong dengan menampilkan lima kelopak yang berwarna putih kekuningan tanpa sebarang corak.

Bunganya juga sering dihinggapi oleh serangga seperti lebah dan rama-rama untuk menghisap madunya.

Tanaman Asystasia Gangetica ‘Alba’ seringkali dilihat tumbuh meliar di sekeliling kediaman terutama di kawasan kampung.
Tanaman Asystasia Gangetica ‘Alba’ seringkali dilihat tumbuh meliar di sekeliling kediaman terutama di kawasan kampung.

Bentuk pokoknya agak ringkas sahaja iaitu tumbuh menegak atau sedikit merayap dengan daunnya yang tumbuh di sekeliling batangnya.

Penampilan daunnya yang berbentuk bujur sirih dan berwarna hijau itu juga sangat menarik.

Batang pokoknya boleh tumbuh mencapai sehingga satu meter panjang. Sebagai tanaman liar ia cukup senang dari segi penjagaannya.

Penanaman

Pada dasarnya ia adalah sejenis tumbuhan yang mudah dibiakkan dengan menggunakan anak pokoknya yang tumbuh meliar di sekeliling pokok induknya yang dicambah melalui biji benihnya.

Kaedah penanamannya dimulakan dengan mencabut anak pokok liar dan pastikan terdapat tanah yang masih terlekat pada sistem akarnya.

Tanam anak pokok berkenaan dalam medium tanaman yang bersaliran baik dan kaya dengan kandungan humus yang tinggi.

Campuran medium yang disyorkan ialah 3:2:1 iaitu tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.

Bahan organik sebenarnya dapat membekalkan humus yang tinggi untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur.

Ia juga boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan batang.

Penjagaan

Siram tumbuhan Asystasia Gangetica ‘Alba’ apabila perlu sahaja untuk mengekalkan kelembapan medium tanamannya.

Bunga Asystasia Gangetica ‘Alba’ tumbuh pada tangkai yang panjang berbentuk seperti serombong dengan menampilkan lima kelopak yang berwarna putih kekuningan.
Bunga Asystasia Gangetica ‘Alba’ tumbuh pada tangkai yang panjang berbentuk seperti serombong dengan menampilkan lima kelopak yang berwarna putih kekuningan.

Jika terlalu berlebihan air siramannya boleh mengakibatkan pokok itu layu dan mati.

Ia perlu untuk didedahkan kepada banyak cahaya untuk pertumbuhan pokok yang subur dan berbunga.

Sebagai pokok liar, ia tidak memerlukan pembajaan yang banyak. Oleh itu, gunakan separuh sahaja sukatan seperti yang disyorkan untuk pokok hiasan lain.

Anda boleh menggunakan baja organik seperti najis ayam atau kelawar yang diproses untuk membajanya kerana terdapat bahan humus untuk pertumbuhan pokok yang subur.

Namun begitu, baja kimia jenis cecair dan garam larutan kecuali jenis bijian juga sesuai untuk pokok ini.

Pokok Asystasia Gangetica ‘Alba’ ini sesuai ditanam secara solo sebagai pokok spesimen dalam pasu atau ditanam ditanah untuk pameran daun dan bunganya yang cantik.

Di samping itu, pokok ini juga sesuai untuk ditanam dalam pasu gantung untuk dijadikan sebagai tanaman gantung kerana ciri batangnya yang mudah tumbuh menjalar ke bawah pasu dengan pameran bunga –bunganya yang berwarna putih mirip seperti bunga Petunia.

ARTIKEL YANG SAMA