At-Taqwa tawar promosi menarik

At-Taqwa tawar promosi menarik

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – At-Taqwa Travel Tours menawarkan harga diskaun dan menarik bagi Pakej Haji dan Umrah sepanjang Pesta Pelancongan Brunei yang akan berlangsung pada September depan.

Dalam sidang media yang diadakan semalam, Pengarah Urusan At-Taqwa, Awangku Mohd Naasiruddeen bin Pengiran Haji Yusof berkata, syarikat itu akan mengambil bahagian dalam Pesta Pelancongan Brunei buat kali kedua dan menawarkan beberapa pakej pelancongan khasnya Pakej Umrah dan Haji.

Ia juga akan menawarkan pakej istimewa, Al-Singafura di mana para jemaah umrah berpeluang melancong ke Singapura selama dua hari dan seterusnya mengerjakan umrah.

“Harga-harga tiket Pakej Umrah dan Haji ini diumumkan semasa Pesta Pelancongan Brunei kelak, mana-mana pelanggan pertama membuat pembayaran pendahuluan akan mendapat diskaun $100 bagi setiap tiket,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap Pakej Umrah dan Haji merangkumi penginapan di hotel-hotel terkemuka seperti Hotel Oberoi, Dar Al-Taqwa dan Madinah Hilton di Madinah, dan Hotel Hyatt Regency Makkah, Hotel Fairmont Clocktower dan Hotel Safwah di Makkah.

“Semasa Pesta pelancongan nanti, At-Taqwa juga akan mengadakan sesi cabutan hadiah bertuah, di mana setiap pelanggan yang membuat pembelian akan berpeluang memenangi hadiah utama iaitu tiket umrah percuma. Dan setiap pembelian tiket atau membuat pembayaran pendahuluan, pelanggan juga akan diberikan baucar diskaun berjumlah $5 untuk pembelian tiket seterus,” tambah Awangku Mohd Naasiruddeen.

Menurut beliau, penyertaan syarikat berkenaan di pesta pelancongan itu nanti adalah salah satu cara untuk mendedahkan syarikat kepada umum semenjak penubuhannya pada 2015.

“Alhamdulillah, sejak penubuhan, kami berjaya mencapai sasaran jualan, dan ia adalah satu permulaan yang baik kerana kami masih lagi baru pasaran ini. Meskipun fokus kami lebih kepada Pakej Haji dan Umrah, syarikat juga menawarkan beberapa pakej pelancongan lain,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA