Atasi isu persempadanan Malaysia-Indonesia menerusi sosiobudaya

Atasi isu persempadanan Malaysia-Indonesia menerusi sosiobudaya

KOTA KINABALU, 13 Okt – Isu persempadanan Malaysia-Indonesia harus diatasi menerusi penerapan nilai sosiobudaya bagi memastikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara mampu dikekalkan dalam suasana keharmonian hakiki, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menyedari sempadan antara Malaysia-Indonesia cukup luas, Rais berkata keadaan itu mempengaruhi beberapa isu kenegaraan antara lain berhubung undang-undang perairan, keselamatan, perdagangan haram, penyeludupan dadah, aktiviti pemerdagangan manusia dan masalah tenaga kerja.

Atas dasar itu, Rais yang juga Pengasas Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) berkata kedua-dua negara dilihat perlu lebih proaktif mendekati semua isu persempadanan dan kenegaraan dengan perasaan persaudaraan dan kekitaan agar ia mampu ditangani secara diplomasi serta menyeluruh.

“Soal persempadanan ini harus ditangani secara praktikal agar bermanfaat kepada kedua-dua pihak pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Perbatasan anjuran Ikatan Setia kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Ismawi) di sini, malam tadi. Bertemakan ‘Mengharmonikan Masyarakat Perbatasan’, dialog dua hari itu disertai wartawan Malaysia dan Indonesia.

Turut hadir Presiden Ismawi Datuk Zulkefli Salleh, yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Direktur Utama ANTARA Saiful Hadi dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Mengulas lanjut, Rais berkata pembentukan Komuniti ASEAN berteraskan tiga prinsip utama iaitu ekonomi, keselamatan dan budaya menuntut betapa pentingnya isu persempadanan Malaysia-Indonesia didekati dengan perasaan persaudaraan.

Tambahan pula, menurut beliau hubungan kedua-dua negara ini dilihat sebagai tabung uji kepada negara anggota ASEAN lain termasuk Thailand, Vietnam, Singapura dan Brunei, dalam usaha kedua-dua negara terbabit menguruskan permasalahan serta isu sempadan.

Sehubungan itu, Rais berkata Malaysia-Indonesia perlu membuktikan bahawa mereka mampu menguruskan isu persempadanan dengan cemerlang agar menjadi model pengurusan sempadan di negara ASEAN lain.

Rais juga berkata perlu bagi kedua-dua negara untuk sentiasa menjaga hal berkaitan undang-undang perairan dan kepentingan kenegaraan termasuk menghormati undang-udang domestik seperti imigresen, import dan eksport serta hal berkaitan pertahanan bagi mencapai persefahaman jitu.

Rais juga melihat pentingnya kedua-dua pemimpin meneruskan perbincangan dam menentukan skop bagi memastikan tidak berlaku sebarang ekstremisme di sempadan air mahupun darat yang boleh menggugat keharmonian antara kedua-dua negara. – Bernama