Atasi kelemahan pelajar, tingkat profesionalisme guru

Atasi kelemahan pelajar, tingkat profesionalisme guru

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini mengadakan Majlis Kolokium Perguruan Ugama dengan diselajurkan dengan Pelancaran Buku-buku Terbitan Terbaru KUPU SB yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid dan Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Dr. Adam bin Haji Jait; Raes KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim, para pengarah, penolong pengarah, pensyarah dan ahli-ahli akademik KUPU SB, para pegawai kanan, pegawai, guru-guru besar serta para pelajar KUPU SB.

Dr. Adam semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk berkongsi idea dan pengalaman dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru melalui latihan mengajar dan mengatasi kelemahan-kelemahan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran semasa latihan mengajar di sekolah-sekolah.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan usaha-usaha ke arah memantapkan kemahiran-kemahiran mengajar para pelajar semasa latihan mengajar serta mengemaskinikan pengurusan latihan mengajar dari semasa ke semasa dalam struktur organisasi Fakulti Pendidikan.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika memberikan ucapan di majlis berkenaan.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika memberikan ucapan di majlis berkenaan.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika merasmikan majlis tersebut.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika merasmikan majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara buku-buku yang telah dipamerkan pada pelancaran tersebut.
Antara buku-buku yang telah dipamerkan pada pelancaran tersebut.

Sementara itu, tambah beliau, pelancaran buku-buku terbaru berkenaan pula adalah untuk mempromosikan dan memberigakan buku-buku terbitan KUPU SB kepada masyarakat umum dan menghargai penulis yang telah menyumbangkan hasil penyelidikannya serta memberi galakan dan motivasi kepada staf akademik KUPU SB untuk bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan.

Sebelum melancarkan majlis berkenaan, Dato Paduka Haji Abdul Mokti turut menyampaikan ucapan yang antara lain menyatakan bahawa program ini, bagi beliau merupakan suatu usaha yang mencerminkan pemedulian, kesepakatan dan komitmen KUPU SB terhadap peranan dan sumbangan institusi ini dalam melahirkan guru-guru cemerlang dan berkualiti yang selama ini menjadi harapan dan idaman masyarakat, sesuai dengan misi dan visi KUPU SB.

“Perkongsian ilmu daripada pakar-pakar yang diundang dan juga kerjasama padu sebeginilah, yang akan menjadi daya penggerak bagi menjamin kualiti pendidikan khususnya dalam bidang ‘latihan mengajar’ agar terus mantap dan mencapai tahap bitara.” Beliau turut meluahkan keyakinan bahawa guru pelatih telah didedahkan dengan latihan mengajar, sama ada secara amali atau praktikal dengan menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

“Tugas mengajar bukanlah tugasan yang mudah dan hanya boleh bersandarkan kepada ilmu pengetahuan yang dikaut semasa belajar semata-mata.

Kemahiran mengajar dan menyampaikan maklumat kepada sasaran, sama ada mereka itu murid, pelajar, penuntut atau yang lebih tinggi lagi, perlulah dilengkapi dengan pendekatan, kaedah dan teknik mengajar yang bersesuaian. Semua ini sudah semestinya perlu dikuasai oleh guru pelatih,” tambah beliau .

Pada majlis itu, ucaptama telah disampaikan oleh Pengarah Akademi Pengajian Tinggi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Majid bin Konting yang menyentuh mengenai ‘Meningkatkan Kualiti Latihan Mengajar Melalui Penyeliaan Berkesan’.

ARTIKEL YANG SAMA