Atasi peluh yang berlebihan

Atasi peluh yang berlebihan

PERNAHKAH anda berdepan masalah peluh berlebihan yang ada kala mengganggu aktiviti harian. Bukan itu saja, peluh berlebihan juga menyebabkan rasa rendah diri dan kurang keyakinan apabila berhadapan dengan orang ramai. Mengapakah badan kita berpeluh?

Ia adalah fungsi semula jadi badan untuk mengawal suhu badan.

Peluh berlebihan juga dikenali sebagai hi-perhidrosis. Saraf simpatetik (mempercepatkan kelajuan) yang mengawal kelenjar peluh terlebih dirangsang dan peluh yang dihasilkan jauh melebihi yang sepatutnya untuk menjaga suhu malar.

Hiperhidrosis mungkin sebahagian daripada sebab sampingan keadaan perubatan (hiperhidrosis sekunder) atau mungkin tidak diketahui puncanya (hiperhidrosis utama), yang cenderung menjadi lebih biasa, membabitkan satu hingga dua peratus daripada penduduk serta kelihatan seperti lebih umum di negara Asia.

Penyakit atau keadaan perubatan yang menyebabkan hiperhidrosis sekunder termasuklah hipertiroidisme, gangguan psikiatri, obesiti dan menopaus.

Peluh berlebihan akan mengganggu banyak aktiviti rutin seperti menggenggam objek dengan kemas.
Peluh berlebihan akan mengganggu banyak aktiviti rutin seperti menggenggam objek dengan kemas.

Hiperhidrosis mungkin berlaku dalam satu atau beberapa bahagian badan.

Tangan dan ketiak (aksila) adalah lokasi yang paling biasa. Keadaan ini biasanya bermula ketika remaja dan kekal seumur hidup. Gemuruh dan kebimbangan boleh mempercepatkan peluh berlebihan.

Peluh berlebihan akan mengganggu banyak aktiviti rutin seperti menggenggam objek dengan kemas. Sesetengah pesakit mengelakkan situasi di mana mereka bersentuhan secara fizikal dengan orang lain, walaupun sekadar berjabat tangan.

Sesetengah kerjaya memberi cabaran tersendiri bagi penghidap hiperhidrosis. Contohnya, kerjaya yang memerlukan penggunaan pisau dengan cekap tidak boleh dilakukan dengan selamat oleh individu yang peluh berlebihan di tangan.

Malah permainan alat muzik boleh menjadi tidak selesa atau sukar kerana tangan berpeluh.

Keberkesanan dan hasil profesion lain yang memerlukan cengkaman tangan yang stabil dan baik akan terjejas (juruterbang, doktor terutama pakar bedah, anggota polis, peguam, buruh, guru) dan boleh menjejaskan kehidupan orang lain.

Hiperhidrosis pada aksila (ketiak) boleh menyebabkan bau busuk, kesan kotor besar yang boleh dilihat pada kemeja, dan keengganan untuk bergaul dengan orang lain. Di samping itu, kebimbangan untuk berpeluh boleh memburukkan lagi keadaan.

Simptom ini boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang individu daripada perspektif psikologi, sosial dan emosi.

Dirujuk sebagai ‘silent handicap’ (kecacatan senyap), penghidap keadaan ini malu untuk membincangkan isu berkenaan dan bagaimana ia mengganggu mereka walaupun dengan ahli keluarga yang rapat.

Tanpa ditangani, ia mempunyai kesan emosi yang amat buruk kepada harga diri seseorang, bahkan membawa kepada kemurungan serta gangguan mood dalam kes yang teruk.

Disebabkan isu asas dalam hiperhidrosis adalah rangsangan berlebihan pada saraf luar kawal yang mempengaruhi kelenjar peluh, penawar yang berpotensi membabitkan gangguan ke atas laluan ini.

Saraf yang mengawal kelenjar peluh tangan dan aksila terletak di dada dan ia adakah akses terbaik.

Prosedur ini boleh dilakukan oleh keratan kecil (5mm) di bawah ketiak (lubang kunci / pembedahan toraskop dibantu video (VATS)) dan gentian saraf yang bersesuaian dengan klip, memotong atau simpatektomi (sympathectomy).

Prosedur ini dilakukan pada sebelah tangan dahulu. Prosedur keseluruhannya untuk kedua-dua belah mengambil masa kira-kira satu jam dan pesakit dibenarkan balik pada hari yang sama atau sehari selepas itu.

Keputusan adalah serta-merta. Tangan berasa panas dan kering pada akhir prosedur. Kadar kejayaan hampir 98 peratus untuk tapak tangan berpeluh dan kira-kira 85 peratus untuk ketiak berpeluh.

Walaupun ada pilihan lain seperti ubat-ubatan, iontoforesis, deodoran dan suntikan botoks, kebanyakannya menyasarkan kelenjar peluh (bukan saraf yang membekalkan kelenjar peluh) dan ia hanya bersifat sementara malah perlu diulang pada jangka masa yang berbeza.

ARTIKEL YANG SAMA