ATGS ke-18 dilancarkan

ATGS ke-18 dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANGKOK, 17 Jun – Negara seribu senyuman, Thailand mengalu-alukan puluhan ribu orang pengunjung dari seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama menikmati pelbagai jenis tawaran istimewa selama tiga bulan apabila acara yang dinanti-nantikan, Jualan Tahunan Besar-besaran Thailand (ATGS) ke-18 kembali lagi bermula daripada 15 Jun hingga 15 Ogos nanti.

Jualan tahunan yang merupakan salah satu acara yang popular bagi para pengunjung ke Thailand itu, disertai oleh lebih daripada 15,000 operator perniagaan pelancongan yang meliputi lebih daripada 100 buah gedung membeli-belah di tujuh lokasi pelancongan utama iaitu Bangkok, Pattaya, Chiang Mai, Phuket, Hat Yai, Hua Hin dan Udon Thani.

Acara jualan bagi 2016, menumpukan kepada pelanggan wanita di mana Autoriti Pelancongan Thailand (TAT) meraikan bulan perjalanan wanita pada bulan Ogos semasa acara jualan tiga bulan itu dengan pelbagai tawaran istimewa dan acara menarik sebagai menghargai pencapaian kaum wanita.

Acara jualan tahunan yang telah diadakan sejak 1989 itu dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Pelaburan Pelancongan TAT, Wiboon Nimitrwanich di majlis yang menarik di tengah-tengah nadi pusat membeli-belah terkemuka Bangkok, BTS Skywalk, Stesen National Stadium, baru-baru ini.

Menurut Wiboon, acara jualan tahunan itu merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan dan amat popular bagi pelancong-pelancong yang berkunjung ke Thailand di mana ia mampu untuk meningkatkan lagi perkembangan industri pelancongan Thailand serta menaikkan lagi imej Thailand sebagai destinasi membeli-belah utama.

Wiboon bersama-sama wakil dari Visa Thailand melancarkan ATGS 2016.
Wiboon bersama-sama wakil dari Visa Thailand melancarkan ATGS 2016.

Di samping itu, ia juga menjana peluang-peluang pekerjaan bagi penduduk setempat dan merangsang perbelanjaan setempat. Wiboon juga menyatakan harapan agar para pengunjung bukan sahaja membawa balik pelbagai barangan menarik semasa lawatan mereka ke pusat-pusat membeli-belah terkemuka Thailand tetapi juga membawa pulang seribu kenangan manis sepanjang berada di negara seribu senyuman itu.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran TAT bagi Brunei dan Malaysia, Richard Lim Chew Lee berkata kepada Media Permata bahawa jumlah pengunjung dari Brunei ke Thailand menunjukkan peningkatan yang positif dari tahun ke setahun.

Penyertaan TAT dalam pelbagai jerayawara dan acara seperti Pesta Pengguna, untuk mempromosikan Thailand sebagai destinasi pelancongan juga menunjukkan kesan yang positif dengan jumlah pengunjung terus meningkat.

Beberapa buah pusat membeli-belah di pusat bandar raya Bangkok menawarkan harga menarik sepanjang ATGS 2016.
Beberapa buah pusat membeli-belah di pusat bandar raya Bangkok menawarkan harga menarik sepanjang ATGS 2016.

Beliau berharap lebih banyak pengunjung dari Brunei akan memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka dan dengan acara jualan ATGS yang berlangsung pada masa ini serta kewujudan laluan penerbangan langsung dari Bandar Seri Begawan ke Bangkok, setentunya akan memudahkan lagi pengunjung dari Brunei untuk menikmati pelbagai tawaran istimewa, kemesraan layanan dan perkhidmatan bertaraf tinggi dari Thailand.

Kempen jualan ATGS merupakan satu acara jualan yang mempunyai kelainannya tersendiri di mana selain menawarkan harga yang menarik bagi pelbagai barangan, ia juga menawarkan harga-harga menarik bagi pelbagai produk pelancongan seperti penginapan, rawatan kecantikan, penyewaan kenderaan dan produk-produk kesihatan.

Terdahulu sebelum pelancaran ATGS 2016, seramai 14 buah pasukan yang terdiri daripada pengamal media dari 14 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, India, Korea, China, Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Laos, Taiwan, Brunei, Jepun dan Australia bertanding dalam Cabaran Membeli-belah di mana pasukan dari China, Wilayah Guang Zhou, muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai 100,000 Baht.

Acara ATGS 2016 berlangsung selama tiga bulan yang menawarkan potongan harga menarik daripada lima hingga 80 peratus serta juga memberikan tawaran istimewa yang berbaloi dan nilai untuk wang bagi setiap pengunjung.

ARTIKEL YANG SAMA