Athletico juara Futsal

Athletico juara Futsal

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Athletico dari Politeknik Brunei muncul juara Kejohanan Futsal antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Politeknik Brunei sempena Konvokesyen ke-2 Politeknik Brunei, 2016 selepas menang 2-0 ke atas Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ‘B’ di perlawanan akhir.

Pada kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Sketup Sketas dari Institut Teknologi Brunei (ITB) merangkul tempat ketiga selepas mengalahkan Sekolah Vokasional Sufri Bolkiah (SVSB) 1-0.

Sejumlah 28 buah pasukan mewakili 11 buah IPT di negara ini telah menyertai kejohanan berkenaan yang dibahagikan kepada tujuh buah kumpulan dan mengandungi empat buah pasukan setiap kumpulan.

Selaku juara, Athletico menerima hadiah wang tunai $300, Piala Juara dan Pingat Emas, manakala UNISSA ‘B’ membawa pulang hadiah wang tunai $200, Piala Naib Juara dan Pingat Perak.

Sketup Sketas pula mendapat hadiah wang tunai $100, Piala Ketiga dan Pingat Gangsa.

Tiga pasukan terbaik kejohanan Sketup Sketas, Athletico dan UNISSA B.
Tiga pasukan terbaik kejohanan Sketup Sketas, Athletico dan UNISSA B.

IPT yang telah menyertai kejohanan tersebut ialah Politeknik Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), ITB, UNISSA, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Institute of Graduate Studies (IGS), Laksamana College of Business (LCB), Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam (SVNR), SVSB, Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) dan Sekolah Vokasional Wasan. –Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA