Atlet bina badan perlu hindar unsur negatif

Atlet bina badan perlu hindar unsur negatif

KENINGAU, 20 Dis (Bernama) – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin malam ini mengingatkan atlet-atlet bina badan negara supaya tidak terjebak dengan unsur negatif termasuk pengambilan bahan terlarang.

Beliau berkata selain mengekalkan bina badan sebagai sukan tanpa gejala negatif, mereka perlu memberi fokus kepada latihan bagi memastikan kemenangan dirangkul dengan rekod bersih. “Kita (perlu) fokus dan memastikan kita menang dengan rekod bersih dalam sukan bina badan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bina Badan Mr Borneo Keningau 2015 di sini, malam Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang atlet bina badan gagal dalam ujian doping Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 Sept lepas sebelum kontinjen negara berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia Ke-49 bermula 29 Sept hingga 5 Okt.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata bina badan akan menjadi antara sukan pada temasya Sukan SEA 2017 nanti.

Khairy berharap Malaysia akan meneruskan tradisi sebagai antara negara di Asia yang mampu melahirkan jaguh sekali gus bintang dalam arena sukan itu.

ARTIKEL YANG SAMA