Atlet Bola Jaring sasar kejayaan

Atlet Bola Jaring sasar kejayaan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Negara Brunei Darussalam akan menghantar sebuah pasukan yang dibarisi sepuluh orang pemain untuk menyertai Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia Bawah 21 Tahun (B21) Yang Ke-9 di Hong Kong.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Pasukan Bola Jaring Kebangsaan B21 Brunei Darussalam telah diadakan hari ini di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Menyempurnakan penyerahan bendera berkenaan kepada Ketua Pasukan Bola Jaring Kebangsaan B21 Brunei Darussalam, Dayang Marhayati binti Ahmad ialah Yang Di-Pertua Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam (Brunei Netball Association – BNA), Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim.

Pada majlis yang telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah itu, Datin Paduka Hajah Intan turut menyampaikan ucapan dan kemudiannya berkesudian untuk menyampaikan sijil kepada para penaja.

Para penaja terdiri daripada Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang menaja tiket penerbangan, Majlis Olimpik Brunei Darussalam yang menaja elaun pemain, Imperial Sports Shop serta orang-orang persendirian seperti Awang Kevin dan Hajah Mariam yang masing-masing menaja baju.

Datin Paduka Hajah Intan ketika menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Dayang Marhayati.
Datin Paduka Hajah Intan ketika menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Dayang Marhayati.

Sejumlah 12 buah pasukan menyertai kejohanan kali ini dan telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang setiap satunya mengandungi tiga buah pasukan.

Brunei Darussalam yang diletakkan sebagai pasukan pilihan ke-6 berada dalam Kumpulan C1 bersama dengan pasukan pilihan ke-3, Singapura dan Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu).

Bersaing dalam Kumpulan A1 ialah pasukan pilihan pertama, Malaysia, pasukan pilihan ke-8, Maldives dan pasukan pilihan ke-9, Jepun. Manakala Kumpulan B1 dibarisi pasukan pilihan ke-2, Sri Lanka, pasukan pilihan ke-7, India dan Chinese Taipei. Kumpulan D1 pula mengandungi pasukan pilihan ke-4, Hong Kong, pasukan pilihan ke-5, Thailand dan Pakistan.

Brunei Darussalam akan memulakan persaingannya pada Isnin, 14 Disember, menentang Singapura pada pukul 5:00 petang waktu setempat, disusuli menentang Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu) pada Selasa, 15 Disember bermula pukul 3:00 petang waktu setempat.