Atlet golf wanita tidak sabar sertai Olimpik Rio

Atlet golf wanita tidak sabar sertai Olimpik Rio

LONDON, 29 Jun (AP) – Ketika bintang golf lelaki ramai membuat keputusan mengundur diri dari bertanding di Olimpik Rio akibat bimbang virus Zika, pemain wanita pula tidak sabar memperagakan aksi untuk merebut pingat emas yang dipertandingkan.

Temasya Olimpik Rio yang kembali mempertandingkan acara golf tidak akan menyaksikan kelibat pemain nombor satu dunia, Jason Day dan pemain keempat dunia, Rory McIlroy yang awal-awal mengesahkan tidak bertanding.

Begitupun, Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) memberikan khabar gembira kerana hampir semua pemain naungan mereka gembira jika dapat mengambil bahagian di temasya tersebut.

Berdasarkan kajian terkini yang dilakukan majalah Sports Illustrated, 40 peratus pemain LPGA didapati gembira jika dapat memenangi pingat emas di Olimpik Rio.

Terdapat juga 29 peratus pemain LPGA yang menyatakan kepuasan jika menang di kejohanan Jelajah PGA dengan peratus selebihnya menyatakan kepuasan jika menang di kejohanan Master, Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka British.

Lydia Ko yang juga akan menyertai Olimpik Rio 2016. – AP
Lydia Ko yang juga akan menyertai Olimpik Rio 2016. – AP

Kajian juga menemui bukti betapa pemain golf wanita dilihat cenderung meletakkan keutamaan memenangi pingat emas Olimpik untuk berkongsi kebanggaan mewakili negara masing-masing berbanding rakan profesional lelaki mereka.

Pemain handalan Amerika Syarikat, Matt Kuchar, yang juga juara tujuh kali Jelajah PGA dengan ranking ke-17 dunia, menyambut baik langkah penganjur memilih semula acara golf selepas sedekad tidak mempertandingkannya.

Bagi pemain nombor satu dunia wanita, Lydia Ko, 19, dia merasakan keseronokan bertanding di Olimpik menghapuskan rasa bimbangnya mengenai penularan virus Zika.

“Saya lebih teruja dengan Olimpik, sama ada majlis perasmiannya serta suasana kemeriahannya berbanding takutkan Zika.

“Ia lebih penting menikmati temasya Olimpik sama seperti gadis lain yang pernah saya temui, semuanya gembira jika dapat bertanding ke Brazil berbanding rasa takut terhadap Zika,” kata pemain New Zealand itu.