Atlet, jurulatih perlu praktik biomekanik

Atlet, jurulatih perlu praktik biomekanik

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Teknik biomekanik yang betul dalam aktiviti sukan perlu dititik beratkan oleh jurulatih dan juga atlet bagi mengurangkan risiko cedera selain mengekalkan konsistensi prestasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata jurulatih dan atlet negara memang mempraktikkan unsur-unsur biomekanik dalam latihan namun teknik tersebut tidak digunakan secara menyeluruh.

Biomekanik merupakan pergerakan anggota tubuh manusia yang boleh diperbaiki dengan menggunakan pelbagai teknik yang menghasilkan kestabilan tubuh, daya dan imbangan paling optimum.

“Biomekanik adalah sains pergerakan tubuh badan iaitu berlari, melompat, melontar dan sebagainya. Teknik biomekanik memang sangat penting dalam sukan kerana ia melibatkan pergerakan tubuh badan seseorang atlet…ia meliputi kefahaman tentang otot dan tulang. Setiap individu itu mempunyai biomekanik yang berbeza-beza.

“Jadi, seseorang atlet itu sendiri perlu lebih faham mengenai tubuh badan mereka. Jurulatih hanya boleh memberi tunjuk ajar, selebihnya bergantung kepada atlet untuk menggunakan kaedah yang betul dalam latihan mereka,” katanya eksklusif kepada Bernama di sini. Dr Ramlan ditemui selepas menghadiri program motivasi bersama Olimpian Olahraga, Carl Lewis dari Amerika Syarikat anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA