Atlet muda negara raih pengalaman berharga

Atlet muda negara raih pengalaman berharga

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 23 Nov – Perasaan gementar dan teruja kerana dapat mewakili Negara Brunei Darussalam dalam acara olahraga Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-7 (ASG7) terserlah di raut wajah para atlit muda negara yang baru saja menyertai acara tersebut bersama para atlet dari luar negara.

Bagi Mohd Wafiq bin Kifli, 16, kejayaannya mara ke peringkat akhir dalam acara lompat jauh diharap dapat memberinya pengalaman berharga meskipun persembahnnya sedikit terjejas.

Ketika ditemubual media, Mohd Wafiq berkata walaupun pertama kali menyertai kejohanan tersebut dan berjaya mara ke peringkat akhir dalam acara lompat jauh, namun prestasinya sedikit terjejas kerana kurangnya latihan lebih-lebih lagi pada tahun ini beliau turut memberikan fokus pada peperiksaan GCE O’Level.

Mohd Wafiq (kiri) berjaya mara ke peringkat akhir acara lompat jauh, manakala Haji Mohd Nur Zul Zainul Abidin (kanan) berjaya memecah rekod persendirian dalam acara lontar peluru.
Mohd Wafiq (kiri) berjaya mara ke peringkat akhir acara lompat jauh, manakala Haji Mohd Nur Zul Zainul Abidin (kanan) berjaya memecah rekod persendirian dalam acara lontar peluru.

Sementara itu salah seorang lagi atlet muda negara, Haji Mohd Nur Zul Zainul Abidin, 18, telah berjaya memecahkan rekod persendirian dalam acara lontar peluru dengan mencatatkan lontaran sejauh 12.8m berbanding pada latihan sebelumnya mencatat 10m sahaja.

Beliau yang juga akan menyertai acara lempar cekera pada esok berharap akan berjaya memecah rekod persendirian dan mara ke peringkat akhir.

Haji Mohd Nur Zul Zainul turut mengakui bahawa pada tahun ini sesi latihannya kurang mencukupi kerana pada tahun ini beliau juga menumpukan pelajarannya dan menduduki peperiksaan A’level.

ARTIKEL YANG SAMA