Atlet negara berlepas ke Kemboja sertai kejohanan bola B-16

Atlet negara berlepas ke Kemboja sertai kejohanan bola B-16

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Untuk kali kelimanya, Negara Brunei Darussalam akan menyertai Kejohanan Bolasepak Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) AFF pada Edisi Ke-11, 2016 yang akan berlangsung pada 10 hingga 23 Julai ini.

Sehubungan dengan itu, seramai 21 orang pemain dan enam orang pegawai yang diketuai oleh Pengurus Pasukan, Haji Meramit bin Haji Damit (EXCO NFABD), telah berlepas menuju ke Kemboja pagi ini.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kepada mereka ialah Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali dan Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Budin.

Pada kejohanan peringkat umur serantau itu nanti skuad Tabuan B-16 akan bersaing dengan tuan rumah Kemboja, Thailand, Laos dan Timor Leste dalam Kumpulan B. Lawan pertama pasukan negara nanti ialah Timor Leste pada 11 Julai d Phnom Penh.

Ketua Jurulatih Skuad B-16 Negara, Awang Muhammad Ali bin Haji Mustafa menjelaskan para pemain yang terpilih terdiri daripada mereka yang telah mengikuti latihan bersama selama setahun dan ditambah dengan tiga orang pemain berbakat daripada Liga Remaja B-16 Kebangsaan 2016.

Para pegawai dan pemain Skuad B16 Tabuan bersama Pengiran Mohd Amirrizal (8 dari kanan) dan Awang Dayem (7 dari kanan).
Para pegawai dan pemain Skuad B16 Tabuan bersama Pengiran Mohd Amirrizal (8 dari kanan) dan Awang Dayem (7 dari kanan).

Mereka juga turut berpeluang untuk menjalani latihan di sepanjang bulan Ramadan yang lalu pada pukul 5 hingga 6 petang dan waktu malam selepas solat Tarawih, tambahnya.

Ketika ditemubual media itu beliau mendedahkan seramai lima orang pemain yang tersenarai tidak menyertai perjalanan ke Kemboja berkenaan kerana sedang sibuk membuat persiapan menduduki Peperiksaan ‘O’ Level tahun ini.

Beliau berharap para pemain bimbingannya sambil dibantu beberapa orang penolong jurulatih berkenaan akan dapat menunjukkan permainan mantap dan mampu memberikan persaingan sengit pada setiap pasukan lawan.

Awang Muhammad Ali turut berharap pemain terpilih yang lahir pada tahun 2000 dan ke atas itu akan mempamerkan prestasi memberangsangkan kerana ia menjadi peluang untuk membuktikan mereka layak menyarung jersi kebangsaan kini dan pada masa akan datang, dengan syarat terus rajin berlatih mempertingkatkan prestasi masing-masing.

Para pemain yang terpilih itu ialah Muhammad Wafi bin Aminuddin (Ketua Pasukan), Awangku Mohd Amirul Hakim bin Pengiran Haji Zulkarnain, Muhammad Amirul Adil bin Haji Samsudin, Muhammad Nazif Safwan bin Jaini, Amirul Hakim bin Amir Mahmood, Abdul Rahaman bin Haji Rasit, Mohammad Hirzi Zulfagar bin Mahzan, Ikram Musayyad bin Haji Ahmad Fawzi, Muhammad Ramhani bin Rajimi, Abang Hazran bin Abang Hadzman, Mohd Rafie bin Haji Medun, Mohammad Shah Rizal bin Aji, Mohd Salleh @ Abdul Salam bin Hamzah, Muhd Nazhan bin Zulkifli, Muhd Noorhaswan Aiman Noorhassan, Haziq Iman bin Abdullah, Awangku Md Yamin Hadi bin Pengiran Ahmad, Mohd Hibatur Rahman bin Mohamad, Mohammad Norazimmin bin Zakaria dan Muhammad Hanif bin Haji Adanan.

Hanya 11 buah pasukan dari 12 negara anggota Federasi Bolasepak ASEAN (AFF) akan menyertai kejohanan kali ini dengan enam buah negara lagi bersaing dalam Kumpulan A iaitu Australia, Malaysia, Singapura, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

ARTIKEL YANG SAMA