Atlet negara di Rio jalani latihan intensif

Atlet negara di Rio jalani latihan intensif

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Maizura

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Atlet Wanita Negara Brunei Darussalam, Dayang Maizurah binti Abdul Rahim (gambar) telah menjalani latihan intensif semalam bagi persiapan acara larian 200 meter di Sukan Olimpik Rio 2016, Brazil.

Dayang Maizurah, 18, mengakui merasa sangat teruja menyertai sukan berkenaan di Brazil ketika dihubungi oleh Media Permata selepas menjalani latihan intensif di Rio semalam, penyertaanya di Sukan Olimpik adalah salah satu pengalaman yang sangat berharga dengan sasarannya adalah untuk meraih yang terbaik dalam acara larian tersebut.

“Setakat ini, saya tidak merasa sebarang tekanan, tetapi saya berasa sangat teruja dan gembira kerana ini merupakan penampilan pertama saya dalam Sukan Olimpik yang bertaraf dunia.

“Apabila saya terpilih, saya rasa seperti tidak percaya. Ini satu pengalaman yang berharga untuk diri saya sendiri dan juga rakan-rakan sebaya saya di Kuala Belait.”

Menurut beliau lagi, perkembangan latihannya di Rio Brazil telah berjalan dengan lancar dan memuaskan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

pg23_160810_olympic logo

pg24_160810_b

“Perkembangan latihan ketika ini, Alhamdulillah berjalan dengan lancar, latihan intensif sedang berlangsung mengikut jadual dan perkembangan latihan akhir akan diketahui pada 15 Ogos nanti.”

Tambah beliau lagi, cabaran dari segi mental dan fizikal perlu dihadapi dengan serius.

“Cabaran dari segi mental dan fizikal perlu dihadapi dengan serius kerana perlu berhadapan dengan atlet-atlet yang cukup berpengalaman, apatah lagi apabila melihat para atlet taraf dunia yang giat membuat latihan-latihan.”

Seramai tiga orang atlet beserta Chef De Mission, seorang pengurus, dua orang jurulatih dan seorang pegawai urusetia baru-baru ini berlepas meninggalkan negara bagi menyertai Sukan Olimpik XXXI yang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil.

Penyertaan atlet negara adalah di bawah kuota University Places yang telah diberikan oleh International Association of Athletics Federations (IAAF) melalui International Olympic Council (IOC) bagi dua orang atlet olahraga iaitu Mohd Fakhri bin Ismail dan Maizurah binti Abdul Rahim.

Mereka merupakan penerima biasiswa atlet bagi menjalani latihan Sukan Olimpik Rio 2016 daripada IOC melalui Olympic Solidarity Fund bagi Program Olympic Scholarship for Athletes Rio 2016, kuota Universiti Places yang diberikan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang tidak mempunyai atlet yang layak melalui proses kelayakan Sukan Olimpik.