Atlet negara fokus raih pingat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Atlet boling padang Brunei Darussalam optimistik untuk mencapai matlamat yang disasarkan kerana sudah membuat persiapan selama enam bulan, bahkan turut terlibat dalam kejohanan Pra Sukan Asia Tenggara pada bulan Julai yang lalu sebagai pendedahan terbesar kepada para atlet.

Perkara itu antara yang ditegaskan oleh jurulatih boling padang Brunei Darussalam, Lokman Haji Mohd Salleh ketika ditemui di Kompleks Boling Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas baru-baru ini, beliau menambah bahawa sememangnya antara cabaran besar dalam penyertaan dalam Pra Sukan Asia Tenggara adalah keadaan padang yang perlu disesuaikan, kerana ia berbeza dengan apa yang ada di negara ini. Namun beliau berkata perkara itu jangan dijadikan alasan untuk mudah mengalah dan tidak menunjukkan pencapaian terbaik.

Apabila ditanya mengenai persaingan, semua pasukan yang bakal bertanding mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dan pastinya pasukan seperti tuan rumah Malaysia, Thailand, Filipina dan Singapura tidak akan memberikan laluan mudah.

Menurutnya, pemain Perseorangan lelaki dan Perempuan menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan ketika di Pra Sukan Asia Tenggara yang lalu apabila pemain Perseorangan Lelaki, Abdul Rahman Omar berjaya meraih pingat emas, manakala Pemain Perseorangan Perempuan pula meraih pingat gangsa menerusi Hajah Amalia Haji Matali.

Mengulas mengenai barisan pemain, beliau menegaskan semua pemain kini sihat dan siap siaga untuk menempuhi persaingan di Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur nanti.

Jurulatih boling padang Brunei Darussalam ketika ditemu bual Media Permata.
Jurulatih boling padang Brunei Darussalam ketika ditemu bual Media Permata.
Para pemain giat menjalani latihan menjelang saingan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur.
Para pemain giat menjalani latihan menjelang saingan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur.

Media Permata berpeluang untuk menemu bual Abdul Rahman Omar, menyatakan penyertaannya di sana adalah pendedahan yang terbaik untuk menilai pasukan lawan dan memperbaiki pasukan negara.

Apabila ditanya mengenai keadaan padang di sana, menurutnya apa yang sangat penting adalah peluang menyesuaikan diri dan fokus dalam permainan di temasya itu nanti.

Semua negara akan memberikan cabaran sengit dan dia akan lebih fokus untuk mengekalkan prestasi yang dicapai di Pra Sukan Asia Tenggara lalu, dan menjadikannya satu sejarah di Sukan Asia Tenggara sebenar nanti.

Sementara itu, Hajah Amalia menegaskan penyertaan di Pra Sukan Asia Tenggara adalah sangat berguna dan menjadi platform bagi mempertingkatkan diri sendiri.