Atlet negara perlu sentiasa bergiat

Atlet negara perlu sentiasa bergiat

MULAI 5 hingga 21 Ogos ini, dunia akan fokus terhadap Sukan Olimpik di Rio de Janeiro dan negara kita Brunei Darussalam telah menghantar tiga atlet yang akan beraksi dalam acara olahraga, trek dan juga badminton.

Tiga orang yang bernasib baik ini dikurniakan biasiswa dan pencalonan universal yang menjadi hak setiap negara peserta, namun begitu, apakah peranan atlet-atlet kebangsaan dan sukan lain yang tidak terpilih ke acara empat tahun sekali itu?

Empat tahun dari sekarang acara sukan yang sama akan diadakan di Tokyo, Jepun. Sebelum itu, Sukan Asia akan mengambil tempat di Jakarta dan Palembang sementara Sukan Komanwel akan berlangsung di Gold Coast, Australia, kedua-duanya dalam tahun 2018. Dan memang setentunya, Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia tahun depan (2017) dan Filipina (2019).

Seharusnya setiap persatuan sukan muhasabah diri masing-masing dan berusaha meneruskan latihan intensif, seolah-olah mereka turut bertanding walaupun pada hakikatnya, mereka masih tertakluk kepada penilaian berterusan dan pencapaian peribadi.

Sukan wushu, petanque, lawan pedang, bola jaring, bola sepak, silat olahraga, sepak takraw, karate-do dan tekwando harus diberi penekanan yang substantif kerana akhir-akhir ini prestasi para atlet berkenaan nampak menjanjikan perolehan pingat apatah lagi dengan komitmen serta minat para atlet yang menggunung untuk berjuang demi negara.

Jangan hendaknya aksi mereka dibiarkan dan seboleh-bolehnya diberi pelepasan dan dorongan untuk menggarap kecemerlangan dan konsisten dalam persembahan mereka mulai sekarang.

Semoga Sukan Olimpik ini akan menjadi pencetus semangat dan jati diri atlet negara untuk terus berjuang dan memastikan kegemilangan berhak diraih kontinjen negara, Amin. Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA