Atlet negara sedia bawa pulang pingat

Atlet negara sedia bawa pulang pingat

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muhammad Ali Sabri Haji Abang

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Barisan atlet negara ke temasya Sukan Universiti Asia Tenggara kini memfokuskan untuk memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Palembang, Indonesia yang hanya meraih satu pingat gangsa dalam acara pencak silat apabila melangkah ke temasya sukan dwi tahunan yang kali ini dihoskan oleh Singapura bermula 9 hingga 19 Julai.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam, Muhammad Ali Sabri bin Haji Abang ketika ditemui sebelum berlepas ke Singapura di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bersama barisan atlet negara yang menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, meskipun kali ini Brunei Darussalam hanya menyenaraikan tujuh atlet berbanding 47 orang dua tahun lepas, beliau bagaimanapun melahirkan rasa keyakinannya kepada barisan atlet untuk menunjukkan persembahan yang terbaik dalam penganjuran kali ini.

“Kali ini kita akan menampilkan beberapa atlet terbaik antaranya Maziah Mahusin, pelari pecut kebangsaan dan ahli Olimpik wanita pertama Brunei Darussalam dan pemain lawan pedang kebangsaan Mohd Hafizuddin Haji Awang Damit,” tegasnya.

Muhammad Ali Sabri (lima kanan) bergambar ramai bersama para atlet yang mewakili negara sebelum berlepas ke Singapura.
Muhammad Ali Sabri (lima kanan) bergambar ramai bersama para atlet yang mewakili negara sebelum berlepas ke Singapura.

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke kejohanan itu dipimpin oleh beliau dan dibantu oleh dua pegawai teknikal dan dua pegawai pengiring yang lain serta dibarisi atlet daripada tiga buah institut pengajian tinggi (IPT) tempatan iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan Laksamana College of Business.

Menurut beliau lagi, atlet Brunei Darussalam akan menyertai beberapa kejohanan antaranya olahraga, lawan pedang, pencak silat dan acara renang.

Dalam acara olahraga Maziah Mahusin akan menjadi tumpuan bagi acara pecut 100 meter dan 200 meter sementara dalam acara 400 meter pula akan disertai oleh Muhd Syafiq Haji Mohd Saini dan Abdul Wafi Haji Zaidin.

Sementara itu, peserta lawan pedang kebangsaan Mohd Hafizuddin Haji Awang Damit akan menyertai kejohanan lawan pedang di sana, Amnahliyani Mohammad Husain dan Jeremy Joint Rion masing-masing akan menyertai acara renang 50 meter bebas dan 50 meter kuak kupu-kupu.

Seorang lagi peserta yang bakal membawa nama negara dalam kejohanan itu adalah Muhd Amirul Haji Ali Amzah yang akan menyertai acara ‘Tanding’ 45-50 kilogram dalam sukan pencak silat.

ARTIKEL YANG SAMA