Atlet negara selamat pulang

Atlet negara selamat pulang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai lapan orang yang terdiri daripada Chef de Mission, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, tiga orang atlet, seorang pengurus, dua orang jurulatih dan seorang pegawai urus setia telah selamat pulang ke tanah air selepas bertanding di Sukan Olimpik XXXI di Rio de Janeiro, Brazil.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen, kelmarin, ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan Jabatan Belia dan Sukan.

Penyertaan atlet negara adalah di bawah kuota Universality Places yang telah diberikan oleh Persekutuan Persatuan Atletik Antarabangsa (IAAF) melalui Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi dua orang atlet olahraga iaitu Awang Mohd Fakhri bin Ismail dan Dayang Maizurah binti Abdul Rahim.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama kontinjen Negara Brunei Darussalam yang baru pulang dari menyertai Sukan Olimpik XXXI di Rio de Janeiro, Brazil. - Gambar Jabatan Belia dan Sukan
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama kontinjen Negara Brunei Darussalam yang baru pulang dari menyertai Sukan Olimpik XXXI di Rio de Janeiro, Brazil. – Gambar Jabatan Belia dan Sukan

Mereka merupakan penerima biasiswa atlet bagi menjalani latihan Sukan Olimpik Rio 2016 daripada IOC melalui Dana Perpaduan Olimpik untuk Program Biasiswa Olimpik bagi Atlet Rio 2016.

Universality Places adalah kuota yang diberikan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang tidak mempunyai atlet yang layak melalui proses kelayakan Sukan Olimpik.

Sementara itu, seorang atlet Badminton iaitu Jaspar Woon Chai Yu adalah berdasarkan jemputan daripada Tripartite Commission Invitation Places iaitu kuota yang diberikan oleh Badminton World Federation (BWF) melalui IOC yang berpandukan kepada ranking mata pemain bagi zon Benua Asia.

Awang Mohd Fakhri telah menyertai acara 100 meter manakala Dayang Maizurah telah menyertai acara 200 meter dalam sukan olahraga. Sementara itu, Jasper Woon Chai Yu, telah menyertai acara perseorangan lelaki bagi sukan badminton.