Atlet negara sertai sepak takraw di Bangkok

Atlet negara sertai sepak takraw di Bangkok

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Pasukan Sepak Takraw Negara akan bertolak pada 16 Oktober ini bagi menyertai ‘The 31st King’s Cup Sepak Takraw World Championship’ di Bangkok, Thailand yang akan bermula pada 17 hingga 23 Oktober ini nanti.

Seramai 10 orang pemain dipilih dan telah menjalani latihan bersama Jurulatih Kebangsaan, Rawat Parbchompoo yang ketika ditemui hari ini, menyatakan rasa berterima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) atas sumbangan dan bantuan dari segi kewangan dan menyediakan tempat latihan di kompleks gelanggang sukan.

“Terima kasih juga yang tidak terhingga kepada PESTABARU yang dipimpin oleh Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abas yang telah berkorban sedaya upaya untuk pasukan negara bagi menyertai kejohanan ini dan terima kasih kepada jurulatih dan para pemain kebangsaan yang sentiasa menyumbangkan bakti mereka untuk mengharumkan nama negara kita yang tercinta ini,” ujarnya.

Mohammad Isa bin Haji Marsidi semasa ditemui media.
Mohammad Isa bin Haji Marsidi semasa ditemui media.

Beliau menambah bahawa peluang kedua buat dirinya setelah menjadi pengurus pasukan semasa di Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai pengalaman berharga untuk menjadi seorang jurulatih yang berwibawa bagi mendidik para pemain.

Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan yang baru dilantik oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU), Mohammad Isa bin Haji Marsidi akan terlibat buat kali pertama dalam kejohanan itu sebagai seorang pengurus.

Menurutnya dengan lantikan tersebut, beliau akan memikul amanah sebaik mungkin dan berharap akan dapat mengetuai pasukan kebangsaan ini dalam meraih kejayaan.

Pasukan negara akan beraksi dalam Kategori Berpasukan, Regu dan Double.