Atlet olahraga Russia perlu terima hakikat

Atlet olahraga Russia perlu terima hakikat

MONTREAL, 22 Julai – Atlet olahraga Russia perlu menerima hakikat betapa mereka akan terlepas peluang bertan-ding di Sukan Olimpik Rio Ogos ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan mereka semalam.

Keputusan CAS itu adalah petunjuk bagi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat keputusan muktamad mengenai pengharaman terus skuad Russia ke Sukan Olimpik Rio yang bermula 5 Ogos ini.

Ahad ini, Eksekutif IOC akan mengadakan mesyuarat sekali lagi sebelum satu keputusan sebulat suara diumumkan kemudian.

Sebelum ini, Agensi Anti Doping Dunia (WADA) meminta IOC menimbang semua tanggung jawab dimiliki badan induk itu dalam membuat keputusan mengenai pengharaman berkenaan.

WADA berkata, pihaknya puas hati dengan keputusan yang diambil oleh CAS sambil mendakwa ia amat adil bagi semua pihak yang bertanding di Rio kelak.

“Sekarang terpulang pada badan induk olahraga antarabangsa untuk menunaikan tanggung jawab mereka selaras dengan kod etika anti doping antarabangsa,” kata WADA menerusi kenyataan, semalam.

Setakat ini, 14 agensi gabungan anti doping termasuk dari Amerika Syarikat, Kanada dan Jerman menulis surat kepada Presiden IOC, Thomas Bach supaya mengharamkan terus penyertaan Russia ke Olimpik Rio.

Agensi lain yang turut menandatangani surat itu ialah Austria, Denmark, Mesir, Finland, Jepun, Belanda,, New Zealand, Norway, Sepanyol, Sweden dan Switzerland. – AFP