Atlet Para Disambut Meriah

Atlet Para Disambut Meriah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Kontinjen Sukan Para Negara Brunei Darussalam hari ini telah berjaya membawa pulang 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 6 pingat gangsa melalui acara olahraga dan tenpin boling di temasya sukan Para ASEAN ke-8 di Singapura yang bermula pada 3 hingga 9 Disember.

Hadir menyambut ketibaan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Berakas ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Dalam menyambut kedatangan para kontinjen negara, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi turut berkesudian untuk mengalungkan sesandang dan memberikan ucapan tahniah kepada kontinjen negara. Ketika ditemui media, Yang Berhormat Pehin berkata pencapaian kali ini menampakkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding penyertaan sebelum ini dan menyatakan rasa yakin Brunei mempunyai peluang yang baik dalam temasya yang akan datang.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama atlet-atlet negara yang telah pulang ke tanah air.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama atlet-atlet negara yang telah pulang ke tanah air.

“Namun para peserta perlu berusaha dan membuat persiapan awal dan sistematik kerana KKBS komited dalam merancang skim penggalakan kepada atlet yang antaranya diharapkan akan terus bermotivasi tinggi dan akan terus gigih bergiat dalam sukan dan meningkatkan lagi nama Brunei di dalam kejohanan lain di masa akan datang” ujar Yang Berhormat Pehin.

Sementara itu, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku ketua kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para ASEAN ke-8 Singapura Tahun 2015 menyatakan bahawa persiapan akan dibuat bagi penyertaan sukan Para di Jakarta tahun depan dan Para ASEAN di Kuala Lumpur dua tahun lagi.

“Jawatankuasa akan membuat penilaian prestasi para atlet yang aktif dan akan terus menilai mana-mana atlet yang berpotensi kerana ini selaras dengan hasrat KKBS untuk terus meningkatkan dan membangunkan para atlet melalui latihan dan ujian masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya lagi, usaha akan diteruskan untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka dan menyeru supaya para atlet tampil ke hadapan untuk penyertaan akan datang selain menegaskan bagi sukan pingpong turut menunjukkan potensi dan hanya perlu menjalani latihan yang bersistematik bersama jurulatih yang benar-benar pakar. Beliau secara menyeluruh menyasarkan pencapaian ke tahap yang dihasratkan dan terdapat pencapaian yang di luar jangkaan sebelum menegaskan akan ada dua set program yang akan dibuat bagi memenuhi sasaran pingat dalam bahagian elit dan pendatang baru sukan Paralimpik ini di masa akan datang.

Negara Brunei Darussalam telah menyertai dalam empat acara sukan iaitu olahraga, pingpong, renang dan tenpin boling dengan keramaian 27 orang atlet.

ARTIKEL YANG SAMA