Atlet Paralimpik Iran meninggal dunia

Atlet Paralimpik Iran meninggal dunia

RIO DE JANEIRO, 18 Sept – Pelumba Paralimpik Iran yang mengikuti acara lumba basikal meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan jalan di temasya Paralimpik Rio, kata pegawai Paralimpik.

Bahman Golbarnezhad, 48, terjatuh pada acara berkenaan dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya walaupun pihak penganjur berusaha membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Malangnya dia meninggal dunia,” kata jurucakap Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Craig Spence kepada AFP.

Nahas Golbarnezhad berlaku selepas lebih dua jam perlumbaan jalan raya kategori C4-5 untuk atlet kurang upaya tetapi masih mampu untuk berbasikal. Dia berada pada bahagian pertama perlumbaan ketika terjatuh.

“Atlet itu menerima rawatan di tempat kejadian dan ketika dalam proses untuk dibawa ke hospital, dia mengalami serangan jantung,” kata IPC dalam satu kenyataan.

“Ambulans kemudian membawanya ke Hospital Unimed Rio di Barra yang mana dia meninggal dunia tidak lama selepas itu.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA