Atlet paralimpik Malaysia pecah rekod dunia

Atlet paralimpik Malaysia pecah rekod dunia

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, melakar sejarah tersendiri selepas memenangi dua pingat emas, setiap satunya mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik.

Pingat emas pertama negara diperoleh menerusi pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy). Dalam acara yang berlangsung di Stadium Olimpik itu, Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.

Pingat perak dimenangi Yang Yifei dari China dengan catatan 12.20s dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan 12.54s.

Selepas majlis penyampaian hadiah, Mohamad Ridzuan, yang mempunyai kesukaran untuk bertutur, menangis tanpa henti dan terpaksa ditenangkan oleh ketua jurulatihnya, R.Jaganathan.

Kejayaan Mohamad Ridzuan kemudiannya disusuli Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London, telah mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak 16.40m, sekali gus memadam rekod dunia dan rekod Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia iaitu 16.29m juga di London. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA