Atlet skuad B-22 bakal beraksi

Atlet skuad B-22 bakal beraksi

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Beberapa muka baru akan diberi peluang membuktikan kemampuan apabila skuad bawah 22 tahun (B-22) negara berdepan Brunei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi esok.

Ketua jurulatih negara, Frank Bernhardt berkata beliau memutuskan untuk menggandingkan muka baharu dan pemain berpengalaman bagi perlawanan esok selepas beberapa tonggak pasukan mengalami kecederaan.

“Kami berdepan masalah kecederaan pemain dan saya memutuskan untuk memberi peluang kepada muka baharu. Saya harap mereka dapat belajar sesuatu dalam perlawanan itu nanti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengendali berusia 47 tahun dari Jerman itu berkata beliau akan membuat sedikit perubahan kepada barisan yang menentang skuad B-22 Bahrain yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam perlawanan pertama pada 30 Ogos sebelum Bahrain menang 2-1 dalam pertemuan kedua, dua hari selepas itu.

Dalam pada itu, penolong kapten skuad B-22 negara, Adib Zainuddin yang beraksi di posisi pertahanan menegaskan beliau bersedia digandingkan dengan mana-mana pemain bagi mengekang jentera serangan pasukan kebangsaan Brunei pada perlawanan esok.

“Kemungkinan saya akan digandingkan dengan pemain Johor Darul Ta’zim II, Dominic Tan kerana saya dan dia sudah beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini. Namun saya sedia digandingkan dengan mana-mana pemain di posisi pertahanan.

“Saya juga berharap rakan sepasukan dapat mengurangkan kesilapan yang kami lakukan ketika berdepan Bahrain tempoh hari dan cuba beri persembahan terbaik dalam perlawanan esok,” kata Adib yang merupakan pemain UiTM FC.

Dalam pada itu, penolong jurulatih Brunei, Ali Mustafa menjelaskan perlawanan berkenaan merupakan usaha serampang dua mata pasukan tersebut yang membawa kombinasi pemain senior dan skuad B-22.

Ia sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala AFF dari 15-21 Okt ini di Kemboja dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Perlawanan ini adalah bagi menguji mentaliti pemain dan juga pembinaan pasukan yang lebih kukuh ketika berada di atas padang.

“Saya rasa pemain B-22 Malaysia beraksi dengan baik menerusi apa yang saya lihat dalam tayangan video, namun fokus saya adalah memperbaiki keserasian antara pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan kami,” jelasnya.

Skuad B-22 negara dijadual menentang pasukan kebangsaan Brunei dalam dua aksi persahabatan iaitu pada esok dan Sabtu, yang dilangsungkan di gelanggang yang sama. – Bernama