Atlet SOBD sahut cabaran

Atlet SOBD sahut cabaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Kontinjen atlet istimewa Negara Brunei Darussalam (SOBD) seramai 18 orang bukan sahaja akan bersaing malah mewakili negara dalam tiga acara Sukan Musim Panas Dunia Olimpik Khas 2015 yang akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat bermula 25 Julai hingga 2 Ogos nanti. Kontinjen negara diwakili 11 atlet yang akan beraksi dalam sukan Bocce, golf dan olahraga diketuai oleh Presiden Special Olympics Brunei Darussalam, Haji Mahrub bin Haji Murni.

Sehubungan dengan itu, Kontinjen SOBD bersama lima orang jurulatih dan seorang pegawai perubatan yang berlepas hari ini diraikan dalam majlis penyerahan bendera negara yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan mereka dijadualkan untuk pulang dan tiba di Negara Brunei Darussalam pada 5 Ogos nanti. Hadir menyerahkan bendera negara ialah Setiausaha SOBD, Dayang Wati binti Haji Bujang kepada Haji Mahrub dengan disaksikan oleh ahli jawatankuasa SOBD, keluarga serta rakan-rakan atlet.

Atlet istimewa yang mewakili negara ke temasya sukan itu ialah Awang Muhammad Aminurr Rafie bin Haji Abdul Rahim, Awang Mickelly Helmie Anak Jonsen, Awang Muhammad Razali bin Haji Maidin, Awang Mohammad Nadihie bin Haji Abas, Dayang Nor Sahkinah binti Sikin, Dayang Siti Nornabilah binti Samrah, Dayang Nurul Mimi Silawati binti Muhammad Suhaimi, Dayang Siti Hazirah binti Zolkipli, Awang Mohammad Samri bin Mahli, Dayang Siti Nursyazwani binti Haji Shamsudin dan Awang Ahmad Zharfan bin Ahmadiah.

Dayang Wati menyerahkan bendera negara kepada Haji Mahrub.
Dayang Wati menyerahkan bendera negara kepada Haji Mahrub.
Haji Mahrub semasa ditemu bual oleh pihak media.
Haji Mahrub semasa ditemu bual oleh pihak media.
Kontinjen SOBD yang menyertai Sukan Musim Panas Dunia Olimpik Khas 2015 bergambar ramai sebe-lum berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kontinjen SOBD yang menyertai Sukan Musim Panas Dunia Olimpik Khas 2015 bergambar ramai sebe-lum berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat.

Haji Mahrub dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata: “Penyertaan kontinjen Brunei merupakan yang ketiga setelah terlibat buat kali pertama di Shanghai, China pada 2007 dan kali kedua pada 2011 di Athens, Greece.”

Menurutnya lagi, lebih 7,000 atlet daripada kira-kira 177 buah negara akan mengambil bahagian dalam 25 acara sukan di mana Brunei mengambil bahagian dalam tiga acara.

“Atlet istimewa negara telah mengadakan latihan sejak tahun lepas dan sebelum ini telah mengambil bahagian dalam sukan serantau untuk menimba pengalaman serta menguji kebolehan mereka,” katanya.

Haji Mahrub turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan tajaan kepada kontinjen atlet istimewa termasuk pihak swasta dan individu di mana sokongan mereka merupakan pembakar semangat bagi atlet untuk terus berjuang mengharumkan nama negara.

Temasya sukan yang akan berlangsung di Los Angeles itu akan dirasmikan pada 25 Julai oleh Wanita Pertama iaitu Isteri Presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama.