Atlet wajib ujian doping

Atlet wajib ujian doping

KUANTAN, 19 Mei – Para atlet yang akan beraksi di Sukan SEA di Singapura Jun ini, perlu menerima dengan hati terbuka keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mewajibkan mereka menjalani ujian doping sebelum beraksi di temasya itu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan berkata tindakan itu bukan satu langkah ekstrem tetapi demi membendung gejala pengambilan bahan terlarang seperti dadah dalam kalangan atlet negara.

Langkah itu juga bagi memastikan imej sukan dan para atlet negara benar-benar bersih dan tidak tercemar dengan kes pengambilan bahan terlarang ketika temasya sukan itu berlangsung.

“Jika berlaku pengambilan bahan terlarang di Sukan SEA itu nanti, pihak berkenaan seperti Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan dan pakar serta jurulatih tidak harus dipersalahkan.

Justeru, pada Sukan SEA Singapura, 510 atlet perlu menjalani ujian itu yang juga kali pertama dilaksanakan berbanding sebelum menyertai kejohanan besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik yang dilakukan secara rambang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Setelit (PS) Kuantan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) Mohamed Rashdan Mohamed Razali.

Mengulas kewujudan Pusat Satelit di negara ini, Saravanan berkata, setakat ini, sebanyak 19 pusat dikendalikan ISN di seluruh negara setakat ini, termasuk dua di Pahang iaitu PS Kuantan dan PS Sekolah Sukan Gambang, di sini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA