Atletico bakal rampas Costa

Atletico bakal rampas Costa

MADRID, 5 Feb – Kelab Sepanyol, Atletico Madrid menjadikan kepulangan penyerang Chelsea, Diego Costa ke Vicente Calderon sebagai sasaran utama bagi sesi perpindahan pemain musim depan, kata presidennya, Enrique Cerezo, semalam.

Atletico ketika ini memiliki dana untuk berbelanja selepas menjual penyerang kebangsaan Colombia, Jackson Martinez ke kelab China, Guangzhou Evergrande dengan 42 juta euro Rabu lalu.

Situasi itu meletakkan Carezo kini menghalakan pandangannya untuk mendapatkan semula Costa yang muncul tonggak utama kejayaan Los Rojiblancos menjuarai trofi La Liga pada musim 2013/14 sebelum menyertai Chelsea.

“Kami akan mencuba segala-galanya yang mungkin dan lihat apa yang Chelsea katakan, namun ia tidak bergantung kepada kami semata-mata.

Kami sentiasa mahu membawa masuk pemain terbaik dan Diego salah seorang daripadanya,” kata Carezo kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Cope.

Enrique semasa menghadiri sidang media. Enrique akan membawa masuk pemain terbaik dan Diego merupakan salah seorang daripadanya. – Reuters
Enrique semasa menghadiri sidang media. Enrique akan membawa masuk pemain terbaik dan Diego merupakan salah seorang daripadanya. – Reuters

Perpindahan Martinez bukan saja menjadi bukti kepada kemampuan kelab China untuk berbelanja besar, namun turut menjadi kelegaan buat Atletico yang meraih keuntungan selepas membeli penyerang kurang menjadi itu dengan nilai 35 juta euro enam bulan lalu.

Penyerang berusia 29 tahun itu hanya menjaringkan tiga gol daripada 22 penampilan dan hanya tersenarai dalam kesebelasan utama sekali sejak November tahun lalu.

“Ia adalah perjanjian yang menakjubkan untuk ketiga-tiga pihak. Amat baik buat kelab yang membelinya, menakjubkan buat kami dan juga kepada pemain,” kata Cerezo. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA