Atletico cemas

Atletico cemas

BARCELONA, 2 Dis (AFP) – Barisan muda Atletico Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasukan liga tahap tiga, Reus 2-1 untuk mara ke kelompok 16 terbaik saingan Copa del Rey atau Piala Raja Sepanyol.

Kesilapan Lucas Hernandez membenarkan Fran meletakkan Reus yang berpangkalan di Catalan mendahului perlawanan untuk tempoh 30 minit pertama.

Selepas itu Luciano Vietto menyamakan kedudukan sebelum Saul Niguez meledak jaringan kemenangan, 27 minit sebelum aksi berakhir. Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan sekali lagi pada 17 Disember ini.

“Persaingan masih sengit dan kesudahan hari ini bukanlah keputusan yang menyenangkan,” kata pengurus Atletico Diego Simeone. “Saya menghargai keupayaan pasukan untuk bangkit selepas ketinggalan 1-0.”

Midfield Atletico Madrid, Niguez (kiri) bersaing dengan midfield Reus Deportiu, Alex Colorado (kanan) dalam aksi Piala Raja Sepanyol di Stadium Perbandaran Reus, semalam. – AFP
Midfield Atletico Madrid, Niguez (kiri) bersaing dengan midfield Reus Deportiu, Alex Colorado (kanan) dalam aksi Piala Raja Sepanyol di Stadium Perbandaran Reus, semalam. – AFP

“Apabila kami mula membuat keputusan yang lebih baik dalam kotak, itu benar-benar banyak membantu meningkatkan pasukan.”

Pengurus Atletico, Diego Simeone membuat tujuh perubahan dalam skuadnya kali ini berbanding barisan yang menewaskan Espanyol, sebelum ini.

Ketika Hernandez terjatuh, ia pantas diambil oleh Fran untuk membuka jaringan tetapi Vietto hanya memerlukan enam minit untuk menjadikan kedudukan kembali seimbang.

Atletico mengawal permainan selepas rehat separuh masa tetapi memerlukan situasi ‘bola mati’ untuk memecah pertahanan Reus yang menyaksikan Niguez menanduk hantaran Koke.