Atletico gagal tundukkan Sevilla

Atletico gagal tundukkan Sevilla

MADRID, 25 Jan – Atletico Madrid melepaskan peluang kembali ke persada La Liga selepas gagal menundukkan Sevilla yang bermain dengan 10 pemain dalam aksi yang berkesudahan terikat 0-0, awal pagi tadi.

Antoine Griezmann mencipta peluang terbaik apabila tandukannya menemui palang pada awal babak kedua, namun tuan rumah gagal mengambil kelebihan selepas Vitolo diarah keluar padang susulan mengutip kad kuning kedua pada minit ke-62.

Keputusan itu menyaksikan Atletico dan Barcelona kini terikat 48 mata di tangga teratas liga menjelang pertemuan mereka di Nou Camp minggu depan, walaupun Barca memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Sementara itu, bos Valencia, Gary Neville pula meneruskan rekod tanpa kemenangan dalam saingan La Liga kepada tujuh perlawanan dengan jaringan penyamaan Alvaro Negredo pada minit ke-93 membantu pasukannya terikat 1-1 di Deportivo la Coruna.

“Apabila anda tidak menjaringkan gol ia adalah normal untuk orang ramai bercakap, tetapi kami begitu banyak peluang hari ini,” kata bos Atletico Diego Simeone.

Kedua-dua pasukan cuba sedaya upaya namun gagal menemui belakang gawang. – Reuters
Kedua-dua pasukan cuba sedaya upaya namun gagal menemui belakang gawang. – Reuters

“Kami melakukan percubaan yang dihalang palang, penjaga gol mereka juga hebat dan satu-satunya cara untuk menjaringkan gol dalam bola sepak adalah dengan mencipta peluang.

“Pasukan kami bekerja keras dan ada beberapa perkara positif yang dapat dilihat dalam perlawanan. Kami sudah mencuba setiap cara untuk memecahkan benteng Sevilla.” – AFP