‘Atletico lebih sukar berbanding Real Madrid’

‘Atletico lebih sukar berbanding Real Madrid’

BARCELONA, 5 April (AFP) – Pemain pertahanan Barcelona Gerard Pique percaya Atletico Madrid memberi lebih ancaman kepada pasukannya berbanding Real Madrid, yang mengakhiri rekod tanpa kalah 39 perlawanan Barca pada El Clasico, Sabtu lalu.

Atletico akan ke Camp Nou pada awal pagi esok bagi perlawanan timbal balik pertama pusingan suku akhir Liga Juara-Juara tetapi juga menjadi pesaing paling sengit Barca dalam La Liga apabila mereka dibezakan enam mata di belakang juara Eropah itu berbaki tujuh perlawanan.

“Mereka tidak menakutkan kami tetapi mereka mengharungi musim yang hebat. Pada saat ini mereka adalah pasukan kedua di Sepanyol, dalam perlawanan liga setakat ini,” kata Pique.

“Ia akan menjadi lebih sukar berbanding Sabtu lalu kerana mereka adalah sebuah pasukan yang sungguh hebat ketika serang belas.

“Pada akhirnya ia bergantung kepada kami. Jika daripada minit awal lagi kami mahukan bola, kena bergerak lebih pantas, peminat ada bersama kami seperti mana Sabtu lalu dan jika semua disatukan, saya rasa kami tidak dapat dihalang.”

Luis Suarez, Lionel Messi, Gerard Pique, Sergio Busquets dan Ivan Rakitic memanaskan badan sebelum memulakan latihan kelmarin. – Reuters
Luis Suarez, Lionel Messi, Gerard Pique, Sergio Busquets dan Ivan Rakitic memanaskan badan sebelum memulakan latihan kelmarin. – Reuters

Dalam perlawanan Barca menentang Real Madrid, Pique meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada hujung minggu lalu sebelum gol Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo mengubah permainan.

Barca juga memberi penghormatan terhadap bekas pemain dan jurulatih, Johan Cruyff sebelum perlawanan dan Pique mengatakan legenda Belanda itu mengubah permusuhan antara Madrid dan Barca, apabila skuad Catalan itu memburu kejayaan trebel buat kali kedua berturut-turut.

“Kami perlu yakin terhadap diri sendiri. Jika kami bercakap mengenai Cruyff, dia tiba pada 1988 (sebagai jurulatih) apabila saya berumur satu tahun,” katanya.

“Apabila dia datang, menewaskan Madrid dan menyelamatkan musim Barcelona adalah sasaran kami. Kini kami berada pada 2016 dan peranan itu sudah berubah.”