Atletico tak layak mara ke final – Vidal

Atletico tak layak mara ke final – Vidal

LONDON, 5 Mei (Agensi) – Pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal menegaskan Atletico Madrid tidak berhak mara selepas separuh akhir kedua Liga Juara-Juara apabila menyifatkan kelab Sepanyol itu sebagai pasukan yang tampil dengan corak permainan paling buruk menentang pasukan terbaik dunia.

Bayern mendominasi 68 peratus sepanjang tempoh 90 minit di Allianz Arena dengan merekodkan 34 percubaan berbanding Atletico yang hanya melakukan tujuh percubaan.

Kelab gergasi Jerman itu turut melakukan keseluruhan 688 hantaran berbanding pihak lawan 212.

Bagaimanapun, gol Antoine Griezmann di tempat lawan membolehkan Atletico bertemu Real Madrid di pentas final, 28 Mei depan biarpun tewas 1-2 dalam aksi separuh akhir kedua bertemu Bayern.

Pemain antarabangsa Chile, Vidal menegaskan Bayern menguasai perlawanan tetapi gagal menyempurnakan semua peluang yang dimiliki bagi menjaringkan gol.

Pemain Bayern, Lewandowski, Arturo Vidal (tengah) dan Mueller meraikan jaringan semasa menentang Atletico Madrid di Munich, kelmarin. – AFP
Pemain Bayern, Lewandowski, Arturo Vidal (tengah) dan Mueller meraikan jaringan semasa menentang Atletico Madrid di Munich, kelmarin. – AFP

“Hari ini (kelmarin) ada sebuah pasukan yang bermain dengan corak permainan paling buruk menentang pasukan terbaik dunia. Kami pasukan yang lebih baik, kami menguasai perlawanan tetapi gagal melakukan penyudah.

“Satu-satunya yang menyaksikan mereka mengawal bola adalah ketika mereka menjaringkan gol,” kata Vidal. Ditanya sama ada Atletico berhak ke final, bekas pemain Juventus itu menjawab: “Sudah pasti tidak.

“Mereka tidak mempunyai bola, mereka berdepan pasukan terbaik dunia. Mereka menyempurnakan peluang dan layak ke final. Dalam bola sepak pasukan terbaik tidak sentiasa menang,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA