ATM sedia hantar misi kemanusiaan ke Rakhine

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menyertai misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine, Myanmar, jika diperlukan, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata, ATM sebagai sebuah organisasi yang lengkap dan mempunyai pengalaman luas dalam beberapa misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa memang mempunyai satu batalion khas untuk melaksanakan tugas-tugas khas seperti dalam misi pengaman dan kemanusiaan.

“Semalam saya dapat arahan daripada Menteri Pertahanan untuk kita melihat apa keperluan yang kita boleh kita sedia untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine dan yang berlindung di sempadan Bangladesh.

“Kita mampu mengerakkan (misi kemanusiaan) sekiranya perlu, sekiranya kalau perubatan diperlukan kita hantar satu hospital lapangan, kita mempunyai keupayaan tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-84 pada 16 Sept ini.

Beliau berkata, ATM pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan seperti di Lubnan, Congo, Somalia, Namibia dan Kemboja selain pernah membuat misi kemanusiaan di Acheh, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata, pengalaman menyertai misi-misi berkenaan selain Malaysia yang dikenali sebagai negara bersemangat muhibah akan memudahkan ATM menyertai misi kemanusiaan dan pengaman.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam beberapa misi pengaman dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat pengiktirafan Jabatan Operasi Pengaman PBB. – Bernama