ATM-TNI sedia bantu mangsa bencana negara ASEAN

ATM-TNI sedia bantu mangsa bencana negara ASEAN

KEMAMAN, 1 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedia bekerjasama membantu mangsa bencana alam khususnya melibatkan negara-negara ASEAN.

Ketua Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Seri Sabri Adam berkata pihaknya bersedia menghantar bantuan termasuk kekuatan tenaga bagi melancarkan operasi membantu mangsa yang terlibat dalam bencana.

Beliau berkata kemampuan dan keakraban yang dijalinkan bersama angkatan tentera negara luar dapat membantu mengurangkan beban serta menjimatkan kos bagi operasi bencana.

“Kita menghadapi pelbagai suasana termasuk bencana alam seperti banjir dan ribut yang berlaku di Thailand, Filipina dan tsunami di Acheh.

“Menerusi pengalaman dan suasana itu, kita bersedia membantu dan menjalinkan kerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia-Indonesia Darat Samudera dan Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA), di sini, hari ini. Eksesais berkenaan bermula 21 Julai lalu dan berakhir esok.

Tentera Nasional Indonesia (TNI) menggunakan helikopter manakala anggota Polis Marin menggunakan bot bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa karam di laut sewaktu mengadakan demonstrasi pada majlis penutup Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Semudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) 9AB/2016 di Kuala Kemaman hari ini. – Bernama
Tentera Nasional Indonesia (TNI) menggunakan helikopter manakala anggota Polis Marin menggunakan bot bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa karam di laut sewaktu mengadakan demonstrasi pada majlis penutup Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Semudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) 9AB/2016 di Kuala Kemaman hari ini. – Bernama

Dalam pada itu, Sabri berkata eksesais latihan bertemakan ‘Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana’ (HADR) itu amat bertepatan situasi di rantau ini yang memerlukan komitmen dalam menangani bencana dan usaha membantu mangsa terjejas.

Sementara itu, Ketua Staf Umum TNI Laksamana Madya Dr Didit Herdiawan berkata menerusi kerjasama tersebut, latihan yang dilakukan itu dapat dijadikan contoh untuk diguna pakai di negara-negara lain.

Beliau berkata mekanisme, cara serta teknik dan taktik diperoleh menerusi eksesais akan digunakan bagi membantu mangsa bencana termasuk kejadian banjir, ribut dan sebagainya.

“Jika berlaku bencana besar seperti tsunami di Aceh dan taufan Haiyan di Filipina, kita dapat gunakan mekanisme dan ilmu yang telah diperoleh untuk membantu mangsa.

“Menerusi jalinan ini, jika berlaku bencana besar dan tidak mampu ditangani, negara terdekat dapat menghantar bantuan awal,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA