ATP denda Kyrgios

ATP denda Kyrgios

MONTREAL, Kanada, 14 Ogos (AFP) – Jelajah ATP mendenda Nick Kyrgios AS$12,500 dan melancarkan siasatan terhadap komen menghina yang dibuat pemain tenis Australia itu terhadap juara Terbuka Perancis, Stan Wawrinka di Montreal Masters, semalam.

Kyrgios, 20 sebelum itu dikenakan denda AS$10,000 kerana komen berbaur lucah kepada Wawrinka pada pusingan kedua, semalam namun ATP kemudian menambah AS$2,500 kerana satu lagi komen yang dibuatnya kepada pengambil bola.

“Berdasarkan kajian semula rakaman video daripada perlawanan itu, ATP turut mengeluarkan denda tambahan sejumlah AS$2,500 untuk kelakuan tiada semangat kesukanan kepada pemegang bola pada perlawanan itu,” kata ATP dalam satu kenyataan.

“Sebagai tambahan, Kyrgios juga akan diberikan ‘notis siasatan’ yang akan menentukan sama ada tindakannya juga boleh dianggap sebagai pelanggaran terhadap peruntukan Kesalahan Major Pemain.”

Pada pusingan kedua, awal pagi tadi, Kyrgios tewas kepada pemain Amerika Syarikat, John Isner 7-5, 6-3.

Seorang budak pengutip bola memberikan bola kepada Nick Kyrgios semasa aksi Piala Rogers menentang John Isner di Montreal, semalam. – AFP
Seorang budak pengutip bola memberikan bola kepada Nick Kyrgios semasa aksi Piala Rogers menentang John Isner di Montreal, semalam. – AFP

Sejurus kekalahan itu, Kyrgios berkata dia secara peribadi sudah memohon maaf kepada Wawrinka di bilik persalinan pemain di Stadium Uniprix dan mahu insiden itu dilupakan.

“Jelas dia melihat saya di koridor semalam,” kata Kyrgios selepas kekalahannya kepada Isner. “Dia datang kepada saya, seperti yang kamu semua tahu dia akan melakukannya. Saya tidak terkejut.

“Saya berkata kepadanya saya meminta maaf. Jelas dia marah, jadi saya perlu berhadapan dengannya. Harap-harap kami boleh melupakan perkara ini.

“Ia sudah selesai ketika ini. Saya membuat permohonan maaf secara terbuka dan juga secara peribadi,” katanya.

Kontroversi bermula apabila Kyrgios selepas perlawanan ke atas Wawrinka berkata kepada pemain Switzerland itu yang teman wanitanya melakukan sesuatu yang tidak senonoh bersama rakan senegaranya.

Wawrinka yang berang menuntut pihak bertanggungjawab supaya mengenakan tindakan atas komen yang dilakukannya Kyrgios.

ARTIKEL YANG SAMA