Attamayyuz tingkat semangat pelajar hadapi PSR

Attamayyuz tingkat semangat pelajar hadapi PSR

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Nov – Bagi memberikan kesedaran awal dalam kalangan murid-murid dan ibu bapa serta penjaga tentang peranan dan tanggungjawab mereka dalam membuat persediaan awal bagi menghadapi Peperiksaan PSR 2017, Kluster 5 dengan kerjasama Bahagian Kaunseling dan Bakat Kerja (BKK), Jabatan Sekolah-Sekolah telah mengadakan Program Attamayyuz bagi Sekolah-Sekolah Rendah Kluster 5, pagi tadi.

Program Attamayyuz merupakan program motivasi bagi pelajar-pelajar Tahun 5 yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II.

Seramai 100 orang terdiri daripada murid-murid dan ibu bapa serta penjaga dari dua buah sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II dan Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Bukit Beruang II hadir mengikuti program tersebut.

Program tersebut diisikan dengan ceramah motivasi bertajuk ‘Mengasi Kurapakku’ yang disampaikan oleh Kaunselor Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong, Hajah Zurahayatidah binti Ahmed, dan seterusnya Bengkel ‘Bimbingan Kelompok’ untuk ibu bapa dan penjaga serta Bengkel ‘Bijak Pelajar’ untuk para pelajar.

Hajah Zurahayatidah ketika menyampaikan ceramah motivasi ‘Mengasi Kurapakku.’
Hajah Zurahayatidah ketika menyampaikan ceramah motivasi ‘Mengasi Kurapakku.’
Antara yang hadir di Dewan Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang II kelmarin.
Antara yang hadir di Dewan Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang II kelmarin.

Attamayyuz merupakan kalimah Arab yang membawa maksud kecemerlangan. Kecemerlangan seseorang pelajar dalam bidang akademik adalah sangat berkait rapat dengan sokongan, dorongan, tunjuk ajar serta nasihat yang berterusan daripada ibu bapa serta guru-guru yang bertanggungjawab mendidik pelajar tersebut bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

Antara lain objektif program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan semangat, motivasi dan azam yang tinggi bagi pelajar untuk menghadapi PSR 2017, di samping dapat mendedahkan ibu bapa atau penjaga pelajar tentang peranan mereka dalam membantu anak-anak mereka bagi persiapan PSR 2017.

Selain itu, program ini juga dapat mendedahkan pelajar-pelajar tentang teknik-teknik belajar dan ulang kaji yang berkesan dan bersistematik serta mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelajar, guru, pemimpin sekolah dan juga ibu bapa atau penjaga pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA