Atur perlawanan, dihukum penjara 4 tahun

Atur perlawanan, dihukum penjara 4 tahun

SINGAPURA, 23 Sept (AFP) – Seorang warga Singapura dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun, oleh mahkamah di sini, hari ini, selepas terbabit \ʼmengatur perlawanan’ bola sepak pada temasya Sukan SEA di sini, baru-baru ini.

Rajendran R Kurusamy, 55, mengaku salah merasuah pengurus dan pemain pasukan bola sepak Bawah 23 tahun Timor Leste, supaya kalah dalam perlawanan menentang Malaysia yang dijadualkan pada 30 Mei di sini.

Dia menawarkan sebanyak Sg$15,000 (RM45,427.42) kepada Orlando Marques Henriques Mendes selaku pengurus pasukan dan Sg$4,000 (RM12,113.54) setiap seorang kepada tujuh pemain Timor Leste supaya kalah perlawanan berkenaan.

Kurusamy dan beberapa individu lain bagaimanapun berjaya ditahan oleh sepasukan anggota badan anti rasuah Singapura sebelum perlawanan berkenaan berlangsung.

Malaysia memenangi perlawanan itu, 1-0. Pasukan Timor Leste pula sebaliknya menduduki tempat kelima daripada enam pasukan peringkat kumpulan dan gagal mara ke separuh akhir.

Rajendran R Kurusamy.
Rajendran R Kurusamy.

Hukuman yang dikenakan itu adalah yang paling lama bagi pesalah terbabit mengatur perlawanan untuk satu pertuduhan, kata pendakwa raya.

Seorang warga Indonesia, Nasiruddin pula yang membantu Kurusamy mendapatkan individu penghubung pasukan bola sepak Timor Leste, dipenjarakan selama 30 tahun kerana peranannya bersubahat dalam konspirasi berkenaan.

Mendes dan bekas pemain kebangsaan Timor Leste, Moises Natalino De Jesus turut ditahan kerana pembabitan mereka.

Pendakwa raya berkata, Kurusamy, bekas penyelia pembinaan, terbabit dengan sekurang-kurangnya lapan rasuah bola sepak pada saingan Liga S pada tahun 1990an yang menyaksikan dia didenda dan dipenjarakan.

ARTIKEL YANG SAMA