Aubameyang buru rekod gol Muller

Aubameyang buru rekod gol Muller

BERLIN, 31 Jan – Penyerang Pierre-Emerick Aubameyang teruja untuk mencapai sasaran 20 gol Bundesliga pada musim ini, sekali gus terus berada di landasan untuk menyamai rekod 40 jaringan oleh Gerd Muller pada kempen 1971-1972.

Bintang sensasi Gabon itu mencetak dua jaringan selepas Borussia Dortmund mengecilkan jurang terhadap pendahulu Bundesliga Bayern Munich dengan kemenangan 2-0 ke atas Ingolstadt malam tadi.

Keputusan itu meninggalkan Dortmund hanya lima di belakang Bayern, yang menjadi tuan rumah kepada Hoffenheim malam ini, dan melebarkan kelebihan ke atas pasukan tangga ketiga, Hertha Berlin kepada 10 mata.

Aubameyang atau Auba – pemain terbaik tahunan Afrika – kini sudah pun menjaringkan 19 gol liga dan 29 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Jumlah jaringannya itu menyaksikan dia kini sudah berada dua gol di depan Muller pada peringkat sama bagi kempen 71/72 dalam perjalanan legenda Bayern Munich itu melakar rekod terbabit.

Tetapi Aubameyang, yang menyasarkan untuk menjaringkan 20 gol sebelum bermula kempen ini, tidak mahu terus dibuai mimpi indah untuk menyamai pencapaian Muller walaupun akur tugasan itu bukannya mudah.

“Saya masih memerlukan 20 gol lagi untuk melakukannya, bukan?” dia memberitahu akhbar yang berpangkalan di Dortmund, Ruhr Nachrichten.

“Ia amat banyak, tetapi dalam bola sepak apapun boleh terjadi.”

Dortmund terpaksa menanti hingga minit ke-77 untuk membuka jaringan menerusi gol tandukannya, tetapi ulang tayang menunjukkan dia berada dalam keadaan ofsaid semasa bek kanan Lukasz Piszczek membuat hantaran silang itu.

Sebelum Aubameyang memastikan kemenangan buat tuan rumah apabila dia mudah menyempurnakan bola hantara Henrikh Mkhitaryan pada minit ke-86 untuk memintas Robert Lewandowski tiga gol dalam pemburuan senarai penjaring terbanyak Bundesliga.

“Buat masa ini, saya tidak melihatnya seperti ofsaid. Saya hanya menanduk masuk bola ke dalam gawang,” kata Aubameyang.

“Kami melepaskan empat gol ofsaid musim ini, jadi ia adalah adil untuk kami.” – AFP