Aubameyang mula kumpul gol Bundesliga

Aubameyang mula kumpul gol Bundesliga

BERLIN, 28 Ogos – Pierre-Emerick Aubameyang bakal bertarung sekali lagi dengan Robert Lewandowski bagi merebut anugerah penjaring terbanyak Bundesliga selepas menyumbat dua gol untuk Borussia Dortmund melakar kemenangan 2-1 ke atas Mainz pada aksi pembukaan liga, semalam.

Aubameyang menjaringkan 25 gol dalam saingan musim lalu sekadar di tempat kedua di belakang penyerang Bayern Munich itu yang meledak 30 gol dan kedua-dua pemain itu dijangka sekali lagi bakal bersaing untuk anugerah terbabit musim ini.

Lewandowski mencetak hatrik ketika Bayern membelasah Werder Bremen 6-0 kelmarin dan Aubameyang membuka akaun golnya tidak sampai 24 jam kemudian.

Bintang Gabon itu menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-17 sebelum menyempurnakan penalti pada penghujung permainan namun penyerang Jepun, Yoshinori Muto mengurangkan defisit pada masa tambahan.

Dortmund yang dibimbing Thomas Tuchel itu turun tanpa kelibat Marco Reus yang masih lagi cedera pangkal paha namun menurunkan tiga pemain baharu dalam kesebelasan utama.

“Pasukan saya sering menunjukkan apa yang mampu mereka melakukan dan walaupun permainan kami kurang kemas, kami tetap dapat menjaringkan gol.” – AFP