Aubameyang Pemain Terbaik Afrika

Aubameyang Pemain Terbaik Afrika

ABUJA, Nigeria, 8 Jan (AFP) – Tonggak antarabangsa Gabon dan Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang mengetepikan calon pilihan, Yaya Toure untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Afrika 2015.

Pada undian yang dilakukan oleh jurulatih dan pengarah teknikal setiap Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) itu, Aubameyang meraih 143 undi mengatasi bintang Manchester City dan Ivory Coast itu yang memburu anugerah kelima berturut-turut namun sekadar mengumpul 136 undi.

Pemain Swansea City dari Ghana, Andre Ayew di tempat ketiga dengan 112 undi.

Anugerah ini pastinya menjadi detik manis buat Aubameyang yang cemerlang di Bundesliga selepas tewas pada edisi 2014 kepada Toure yang ketika itu memastikan anugerah keempat selepas merangkulnya pada edisi 2011, 2012 dan 2013.

Dalam pada itu, Herve Renard yang mengetuai Ivory Coast muncul juara Piala Negara-Negara Afrika 2015 dipilih sebagai Jurulatih Terbaik melengkapkan kejayaan skuad The Elephants yang turut dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Tahunan.

Aubameyang ketika menerima anugerah tersebut daripada Presiden FIFA sementara, Issa Hayatou. - Reuters
Aubameyang ketika menerima anugerah tersebut daripada Presiden FIFA sementara, Issa Hayatou. – Reuters

Pemenang lain menyaksikan pemain Cameroon, Gaell Enganamouit dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik Tahunan manakala Oghenekaro Etebo dari skuad B-23 Nigeria (Pemain Harapan) dan pemain B-17 Nigeria, Victor Osimhen dipilih sebagai penerima anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan.

Sementara itu, TP Mazembe dipilih sebagai Kelab Terbaik Tahunan manakala Charles Kumi Gyamfi (Ghana) dan Samuel Mbappe Leppe (Cameroon) diiktiraf sebagai legenda Afrika.

“Contoh terbaik di peringkat tertinggi. Ini menunjukkan beliau pemain yang hebat terutamanya ketika menyerang.

“Kecemerlangan ini pastinya menjadi aset buat The Panthers membuat persediaan untuk aksi Piala Negara-Negara Afrika selepas ini,” kata Presiden Gabon, Ali Bongo Ondimba.

Aubameyang wins top African player for 2015 crown 2015

ARTIKEL YANG SAMA