Aurier: ‘Nakal’ di Perancis, tapi disayangi di Ivory Coast

Aurier: ‘Nakal’ di Perancis, tapi disayangi di Ivory Coast

ABIDJAN – Serge Aurier kerap menjadi tajuk utama di Perancis kerana tingkah lakunya, termasuk perbalahannya dengan seorang anggota polis dan menghina jurulatihnya di dalam media sosial, tetapi di negaranya, Ivory Coast, beliau disayangi.

Pemain bek kanan berusia 23 tahun itu sudah dikenakan pengharaman sebanyak tiga perlawanan daripada kejohanan Eropah oleh UEFA atas komennya mengenai seorang pengadil apabila beliau mendapati dirinya dikelilingi kontroversi pada bulan Februari tahun ini.

Dalam sebuah video di dalam media sosial, Periscope, pemain bintang Paris Saint-Germain itu memperolok-olokkan jurulatihnya, Laurent Blanc dan beberapa orang rakan sepasukannya, kemudiannya beliau didenda dengan ditempatkan bersama pasukan simpanan selama lima minggu.

Pada bulan September, beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan selepas didapati bersalah menyerang seorang anggota polis di luar sebuah kelab malam di Paris pada bulan Mei, dan pada bulan lepas beliau telah diletakkan di bawah siasatan oleh FIFA bagi gerak isyarat mengerat leher ketika kelayakan Piala Dunia.

Jika ramai di Eropah mempersoalkan mengenai tingkah laku Aurier, manakala di Ivory Coast pula penduduknya beratur untuk mempertahankan pemain tersebut.

Skuad yang telah memenangi Piala Negara-negara Afrika pada tahun 2015.
Skuad yang telah memenangi Piala Negara-negara Afrika pada tahun 2015.
Laurent Blanc (kiri) telah mendenda Aurier dengan memasukkannya ke dalam pasukan simpanan selama lima minggu kerana menghinanya.
Laurent Blanc (kiri) telah mendenda Aurier dengan memasukkannya ke dalam pasukan simpanan selama lima minggu kerana menghinanya.
Pemain Maghribi, Carcela Ganzalez Mehdi (kanan) berebut bola dengan Serge Aurier dalam satu perlawanan kelayan bagi Piala Dunia 2018. – AFP
Pemain Maghribi, Carcela Ganzalez Mehdi (kanan) berebut bola dengan Serge Aurier dalam satu perlawanan kelayan bagi Piala Dunia 2018. – AFP

“Penduduk Perancis perlu berhenti memburuk-burukkan Aurier. Eric Cantona juga telah melakukan banyak perkara yang tidak dapat dibayangkan ketika beliau berada bersama Manchester United di England,” kata presiden perwakilan JCA Treichville, Abou Cisse, antara kelab tertua Ivory Coast.

“Itu tidak menghentikan media Perancis daripada memujinya.

“Aurier masih muda. Kelakuannya adalah kesan daripada persekitaran asal beliau. Tetapi beliau seorang yang baik. Kita perlu membantunya untuk berkelakuan baik dengan menjadi contoh berbanding membinasakannya.”

Perlu menjadi contoh baik

Seorang wartawan bagi radio kebangsaan Ivory, Brice Kouassi, juga mempunyai pendapat yang sama.

“Masalah Aurier adalah beliau membuatkan Laurent Blanc marah, yang merupakan antara simbol bola sepak Perancis,” katanya mengenai bekas pemain pertahanan Lens dan Toulouse itu.

“Beliau merupakan antara pemain bek terbaik di dunia dan sudah tiba masanya beliau berada di jalan yang lurus, bahkan menjadikan dirinya sebagai contoh bagi generasi muda yang diwakilinya.”

“Ia agak melampau. Kita perlu membiarkan Aurier mendapat ketenangan. Di sini kami begitu menyayanginya,” tegas presiden bagi Sporting Club de Gagnoa, Yssouf Diabaté.

Perasaan meluap-luap di negaranya itu adalah kerana mereka mahu Aurier perlu dinilai berdasarkan prestasinya berbanding kelakuannya di luar padang.

Meskipun dikecam di Perancis kerana tingkah lakunya, beliau tetap disanjung oleh penyokongnya di Ivory Coast. – AFP
Meskipun dikecam di Perancis kerana tingkah lakunya, beliau tetap disanjung oleh penyokongnya di Ivory Coast. – AFP
Didier Drogba tetap mempertahankan Serge Aurier. – AP
Didier Drogba tetap mempertahankan Serge Aurier. – AP

“Beliau mempunyai bakat yang menakjubkan,” kata Aka Kouamé, seorang ahli bagi pasukan Gajah yang memenangi Piala Negara-negara Afrika pada tahun 1992

Aurier merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala Negara-negara Afrika pada tahun 2015.

Dipertahankan oleh Drogba

Mereka yang mempertahankannya menyatakan bahawa beliau tidak didenda oleh FIFA bagi meraikan jaringannya dengan kontroversi menentang Mali, dan beliau mungkin telah menyelamatkan nyawa pemain pasukan lawan, Moussa Doumbia, dalam perlawanan yang sama dengan menahannya daripada menelan lidah sendiri.

“Masalah beliau adalah di luar padang, tetapi apabila berada di dalam padang beliau pasti memberikan segala-galanya,” kata legenda Ivory Coast, Didier Drogba, yang kini berusia 38 tahun dan bermain bagi kelab Montreal Impact.

“Tetapi apabila adanya generasi muda memanggil nama anda dan meminta tandatangan, anda perlu beringat-ingat dalam apa sahaja anda lakukan.

“Jika beliau melakukan sesuatu yang tidak baik, saya pasti memberitahunya. Tetapi sebenarnya beliau seorang lelaki yang baik. Seorang yang taat dan mahu berjaya. – AFP