Aurier wira PSG

Aurier wira PSG

LOS ANGELES, 25 Julai – Paris Saint-Germain (PSG) tidak berdepan masalah meraih kemenangan walaupun beraksi tanpa tonggak utamanya, Zlatan Ibrahimovic yang kini bersama Manchester United.

Dua gol jaringan Serge Aurier membantu juara Perancis itu menewaskan Inter Milan 3-1 dalam aksi pra-musim Piala Kejuaraan Antarabangsa di Eugene, Oregon hari ini.

Layvin Kurzawa turut meledak jaringan buat juara liga Perancis itu, manakala Steven Jovetic menyempurnakan penalti buat kelab Itali itu di masa kecederaan babak pertama.

Piala Kejuaraan Antarabangsa adalah kejohanan pertunjukan membabitkan 17 kelab dari empat benua berbeza, yang dalam persiapan menghadapi aksi pembukaan liga masing-masing.

Perlawanan berkenaan berlangsung di atas padang rumput yang diletakkan di atas rumput tiruan di Stadium Autzen, yang menjadi laman kepada pasukan Universiti Oregon.

Aurier meraikan gol kedua ketika menentang Inter Milan dalam perlawanan bola sepak Piala Kejuaraan Antarabangsa di Stadium Autzen di Eugene, Oregon semalam dengan menewaskan Inter Milan 3-1. –  AFP
Aurier meraikan gol kedua ketika menentang Inter Milan dalam perlawanan bola sepak Piala Kejuaraan Antarabangsa di Stadium Autzen di Eugene, Oregon semalam dengan menewaskan Inter Milan 3-1. – AFP

PSG di bawah kendalian pengurus baharu Unai Emery mempamerkan corak permainan menyerang dan berada di depan seawal minit ke-15 apabila sepakan percuma Hatem Ben Arfa gagal ditangkap kemas penjaga gol Inter Samir Handanovic untuk ditolak masuk Aurier.

Inter kembali menyamakan kedudukan sebelum berakhir babak pertama menerusi Jovetic yang melepaskan rembatan kencang selepas dihadiahkan penalti gara-gara bola terkena pertahanan lawan.

PSG kembali mendahului perlawanan pada minit ke-61 melalui Kurzawa, dan Aurier mengesahkan kemenangan apabila dia melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Alec Georgen tiga minit sebelum tamat perlawanan.

PSG seterusnya akan berdepan Real Madrid di Columbus, Ohio pada Rabu ini dan bertemu Leicester City di Los Angeles, Sabtu ini. Inter pula menentang Bayern Munich di Carolina Utara, Sabtu ini. – AFP