Australia arah 28 bot berpatah balik

Australia arah 28 bot berpatah balik

CANBERRA, Australia, 22 Jun (AP) – Parti pemerintah Australia berkata hari ini ia telah menyuruh 28 bot berpatah balik untuk menghalang pencari perlindungan daripada sampai ke Australia ketika berkuasa selama tiga tahun dan mengingatkan usaha tersebut tidak akan diteruskan jika pembangkang negara memenangi pilihan raya negara pada bulan depan.

Kerajaan gabungan konservatif telah mengingatkan bahawa bot akan mulai datang dari pelabuhan Indonesia dalam jumlah yang lebih banyak jika Parti Buruh memenangi pilihan raya pada 2 Julai.

Bot terbaru yang membawa 21 warga Vietnam dipintas pada bulan ini, kata Menteri Perlindungan Sempadan Peter Dutton.

Mereka dipulangkan ke Vietnam selepas tuntutan pelarian mereka dinilai dan ditolak di laut, kata beliau. Beliau enggan memberikan butir lanjut.

Kerajaan jarang memberikan butir-butir mengenai operasinya yang dikendalikan oleh tentera ke atas bot pencari perlindungan di laut.

Indonesia membantah bot yang membawa warga asing ditunda oleh kapal perang Australia kembali ke pantai Indonesia.

Cara menghadapi dan mengatasi pencari perlindungan merupakan satu isu politik utama di Australia, dan Dutton berkata jika pemimpin pembangkang Bill Shorten memenangi pilihan raya, rancangannya untuk memberikan 30,000 pencari perlin-dungan yang telah pun berada di Australia visa pelarian tetap hanya akan menarik lebih banyak bot.

Kerajaan telah memberikan mereka visa perlindungan sementara selama tiga tahun dan mengugut akan menghantar mereka pulang ke tanah air mereka apabila visa tersebut luput tempohnya.

ARTIKEL YANG SAMA