Australia awasi jualan infrastruktur kepada pelabur asing

Australia awasi jualan infrastruktur kepada pelabur asing

SYDNEY, 18 Mac (AFP) – Jualan infrastruktur besar milik kerajaan Australia kepada para pelabur asing persendirian akan berdepan pengawasan lebih tegas di bawah peraturan baru yang diumumkan hari ini, selepas perjanjian yang melibatkan sebuah syarikat China pada tahun lalu telah mengundang kritikan.

Peraturan baru itu akan dikuatkuasakan dari 31 Mac dan memastikan jualan infrastruktur penting kepada para pelabur asing akan diletakkan di bawah kajian rasmi badan penasihat pelaburan asing Australia.

Di bawah peraturan sebelumnya, Lembaga Kajian Pelaburan Asing (FIRB) hanya perlu menilai jualan infrastruktur seumpama itu kepada perusahaan milik kerajaan asing.

“Sementara kami menyambut baik pelaburan asing di Australia, adalah mustahak bahawa jualan infrastruktur penting diteliti untuk memastikan sebarang kemungkinan risiko keselamatan negara boleh ditangani,” kata Bendahari Scott Morrison.

Peraturan baru menyusuli kebenaran pada tahun 2015 bagi pajakan 99 tahun bagi Pelabuhan Darwin kepada Kumpulan Landbridge, China.

Presiden AS Barack Obama yang pasukan marinnya mengelilingi Darwin, dilaporkan menegur Perdana Menteri Malcolm Turnbull berhubung perjanjian itu, dengan Financial Review Australia memetik beliau sebagai berkata “Maklumkan kami lain kali.”

Canberra mempertahankan keputusan yang telah dibuat dalam perundingan dengan Jabatan Pertahanan Australia, tetapi kajian ke atas peraturan itu menyusul.