Australia bakal bina loji terma terbesar dunia

CANBERRA, 11 Jan – Pembangunan loji terma suria terbesar di dunia, yang akan dibina di Australia telah mendapat kelulusan kerajaan Australia Selatan, lapor agensi berita Xinhua.

Pembinaan loji Aurora dengan keupayaan 150 megawatt itu, akan dibina oleh syarikat tenaga suria SolarReserve, bermula tahun ini dengan anggaran kos AS$509 juta.

Menteri Tenaga Australia Selatan, Chris Picton berkata, kilang itu akan mewujudkan 650 peluang pekerjaan dan 50 jawatan.

“Ia satu projek menakjubkan, kerana menerusi loji itu mampu membekalkan tenaga boleh diperbaharui yang bersih untuk kegunaan perkhidmatan kereta api, hospital dan sekolah.

“Australia Selatan bakal menjadi pusat global bagi pembangunan dan penyimpanan tenaga boleh diperbaharui, di samping dengan pelbagai projek lain yang bakal dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” kata Picton kepada pemberita di Adelaide pada Rabu.

Loji itu akan beroperasi menggunakan kepingan cermin untuk memusatkan cahaya matahari di atas menara setinggi 220 meter.

Sinaran matahari memanaskan garam lebur kepada 565 darjah celcius, untuk menjana stim bagi memacu turbin yang akan menghasilkan 150 megawatt elektrik, sekaligus menjadikannya loji terma suria yang mempunyai menara tunggal terbesar di dunia.

Ia mempunyai kapasiti kuasa untuk dibekalkan kepada 90,000 rumah dengan penyimpanan penuh selama lapan jam.

Projek berkenaan akan bergabung dengan projek bateri lithiumion terbesar yang dibina oleh Tesla, untuk melengkapkan grid tenaga negara yang menerima permintaan tinggi semasa musim panas. – Bernama