Australia galak pelaburan di ASEAN

Australia galak pelaburan di ASEAN

MELBOURNE, 14 Ogos (Bernama) – Australia melancarkan garis panduan komprehensif tentang peluang perdagangan dan pelaburan di ASEAN “Why ASEAN and Why Now Insights for Australian Business” bagi membantu ahli perniagaannya.

Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Andrew Robb berkata rantau ASEAN kini menawarkan begitu banyak peluang kepada ahli perniagaan Australia, tidak seperti sebelum ini.

“Ini terutamanya dalam bidang melibatkan kelas pertengahan yang sedang berkembang dengan permintaan pengguna mengatasi bekalan seperti dalam sektor makanan dan minuman, pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan kewangan,” katanya dalam kenyataan bersempena pelancaran itu, di sini hari ini.

Penerbitan itu yang bersumberkan pengalaman syarikat Australia dan jaringan diplomatik serta misi perdagangan yang beroperasi di rantau ASEAN, menawarkan nasihat dan maklumat tentang menjalankan perniagaan di ASEAN serta cara memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas.

Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Andrew Robb. – AFP
Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Andrew Robb. – AFP

Ia menggariskan peluang-peluang baharu bagi perniagaan Australia yang disokong oleh perisytiharan Komuniti Ekonomi ASEAN tidak lama lagi serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan rantaian nilai serantau seluruh ASEAN.

“ASEAN sebagai satu kumpulan adalah rakan perdagangan kedua terbesar Australia dengan nilai dagangan dua hala pada 2014 melepasi A$100 bilion,” kata Robb.

Eksport Australia ke negara anggota ASEAN bertumbuh hampir 18 peratus antara 2013 dan 2014. Bagi tempoh sama, pelaburan ASEAN di Australia bertumbuh 15 peratus kepada lebih A$110 bilion.

“Saya menggesa semua pengeksport Australia, pengusaha pelancongan dan pelabur agar membaca laporan ini dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh ASEAN,” kata Robb.