Australia lantik ketua antikeganasan

Australia lantik ketua antikeganasan

SYDNEY, 25 Mei (AFP) – Australia hari ini melantik ketua antikeganasan untuk menyelaras agensi keselamatan, sementara merujuk kepada Amerika Syarikat dan Britain untuk mewajarkan satu cadangan melucutkan kerakyatan daripada warga dua negara yang dikaitkan dengan penyokong jihad.

Seperti kebanyakan negara, Australia sedang bergelut dengan ancaman daripada pelampau “dalam negara” dengan beberapa komplot keganasan ditumpaskan pada tahun ini yang didorong oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Sebagai sebahagian daripada kempen ke atas rakyat yang menjadi radikal atau pulang daripada pertempuran di Syria atau Iraq, seorang bekas duta ke Indonesia dan Iran, Greg Moriarty, dinamakan sebagai penyelaras antikeganasan pertama negara.

“Kami mempunyai beberapa agensi keselamatan, risikan dan penguatkuasaan undang-undang dan peranan Greg Moriarty adalah untuk menyelaras kesemua usaha dalam kerajaan dan melaporkan kepada perdana menteri,” beritahu Menteri Luar Negeri Julie Bishop kepada radio negara.

“Terdapat banyak jabatan berlainan, agensi berlainan dan kami mahu memastikan terdapatnya pendekatan yang bersepadu dan tidak adanya sebarang kesilapan.”

Greg Moriarty yang dilantik sebagai ketua anti-keganasan Australia.
Greg Moriarty yang dilantik sebagai ketua anti-keganasan Australia.

Moriarty juga bekas penganalisis risikan dan mempunyai pengetahuan luas mengenai Islam dan kelainan radikalnya. Jawatan itu ditubuhkan ekoran satu kajian pencegahan keganasan menyeluruh pada awal tahun ini.

Pelantikan beliau diumumkan pada hari satu inkues diteruskan dalam pengepungan sebuah kafe di Sydney pada Disember lalu yang mengejutkan Australia. Dua tebusan dan lelaki bersenjata, ulama Iran Man Haron Monis, terbunuh.

Ia juga keluar dengan kerajaan dijangka membutirkan undang-undang baru pada minggu ini untuk melucutkan kerakyatan daripada warga dua negara yang mempromosi, menyokong atau mempunyai hubungan dengan keganasan.

“United Kingdom telah melakukannya. Kanada dan AS sedang menimbangnya,” kata Bishop.

“United Kingdom tidak memberikan kerakyatan dalam 20 kes sejak kebelakangan ini. Maka kami sedang mengkajinya dengan amat teliti. Ia adalah satu isu yang telah dipertimbang oleh jawatankuasa keselamatan negara kami.”

ARTIKEL YANG SAMA