Australia lucut warga dwi-kerakyatan khianati negara

Australia lucut warga dwi-kerakyatan khianati negara

SYDNEY, 26 Mei (AFP) – Australia hari ini mengumumkan ia akan meminda undang-undang untuk melucutkan warga dengan dua kerakyatan yang dikaitkan dengan keganasan kerana “mengkhianati negara,” tetapi menegaskan tidak ada sesiapa yang dibiarkan tidak bernegara.

Perdana Menteri Tony Abbott berkata kuasa baru akan digunakan kepada warga dwi-kerakyatan yang bertempur bersama atau menyokong pejuang jihad seperti kumpulan Negara Islam (IS) atau orang yang suka sendirian yang menimbulkan ancaman kepada negara.

Namun kerajaan mengelak daripada melucutkan kerakyatan daripada warga Australia generasi kedua. Di bawah senario itu, warga sedemikian yang dikaitkan dengan kumpulan keganasan akan dipaksa mengambil kerakyatan negara asal ibu bapa mereka.

“Perubahan tersebut adalah konsisten dengan kewajipan perundangan antarabangsa kami supaya jangan meninggalkan seseorang tanpa negara. Terdapat juga perlindungan, termasuk kajian semula badan kehakiman, untuk mengimbangi kuasa berkenaan,” kata Abbott.

“Kuasa baru berkenaan adalah perlu dan respons wajar kepada ancaman pengganas. Mereka memodenkan undang-undang kami dan membawa mereka lebih erat dengan Britain, Kanada, Perancis, Amerika Syarikat dan negara lain.”

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott. – Reuters
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott. – Reuters

Pengumuman itu dibuat tatkala seorang ibu Sydney dilaporkan meninggalkan dua anaknya dan melarikan diri ke Syria untuk menjalani kehidupan baru di bawah IS, menjadi seorang daripada lebih 100 warga Australia yang telah menyertai penyokong jihad. Sekurang-kurangnya 30 orang telah terbunuh.

Kerajaan berkata ia amat bimbang dengan pendedahan itu dan sedang mengawasi rapat keadaan di sana.

Akhbar The Sydney Daily Telegraph berkata Jasmina Milovanov, mualaf Islam berusia 26 tahun, meninggalkan anaknya, berusia lima dan tujuh tahun, dengan seorang pengasuh pada awal bulan ini dan tidak kembali.

Ia memetik bekas suaminya sebagai berkata dia menghantar satu mesej teks memberitahunya dia berada di Syria.

ARTIKEL YANG SAMA