Australia masih bergelut tingkat kualiti penduduk asli

SYDNEY, 12 Feb – Australia mencatat beberapa kemajuan dalam mempertingkat kesihatan dan pendidikan dalam kalangan penduduk aslinya, kata satu laporan tahunan hari ini, namun ia masih terlepas kebanyakan sasaran untuk mengurangkan kelemahan Penduduk Asli satu dekad selepas melancarkan satu kempen besar.

Kajian ‘Rapatkan Jurang’ ke-10 mendapati pihak berkuasa berjaya memenuhi tiga daripada tujuh matlamat untuk membantu keputusan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan dalam kalangan Penduduk Asli untuk menyaingi penduduk bukan asli.

Usaha itu menunjukkan hasil keputusan dalam bidang seperti mengurangkan kematian kanak-kanak Penduduk Asli dan mempertingkat kadar kelayakan sekolah tinggi.

Namun empat bidang lain termasuk menambah pekerjaan penduduk asli dan jangka hayat ketinggalan di belakang.

Perdana Menteri Malcolm Turnbull berkata keputusan sedang meningkat, selepas Australia dijangka memenuhi hanya satu matlamat setahun sebelumnya.

“Tiga daripada tujuh matlamat dijangka dicapai pada tahun ini, memberikan kami keputusan paling baik sejak 2011,” beritahunya kepada parlimen.

“Dekad lalu telah memberikan kami pemahaman yang lebih tentang apa yang berkesan dan apa yang tidak berkesan,” katanya, menambah pengajaran paling berharga adalah dengan bekerja lebih erat bersama penduduk asli.

Penduduk Asli, yang membentuk kira-kira tiga peratus daripada 25 juta penduduk negara, adalah antara warga Australia yang paling tidak beruntung.

Laporan hari ini, menandakan satu dekad sejak bekas perdana menteri Kevin Rudd mengeluarkan kenyataan maaf bersejarah kepada Penduduk Asli atas ketidakadilan berdekad-dekad lamanya – menunjukkan matlamat untuk mengurangkan jurang kepada separuh dalam kematian kanak-kanak dengan penduduk bukan asli Australia pada tahun 2018 dijangka akan dipenuhi.

Kadar kematian untuk kanak-kanak penduduk asli di bawah empat tahun telah berkurangan daripada 217 setiap 100,000 pada 1998 kepada 145 setiap 100,000 pada 2016, namun ia masih jauh lebih tinggi berbanding penduduk lain. – AFP